Keceriaan kampung nelayan Kuala Perlis diperhebat

Keceriaan kampung nelayan Kuala Perlis diperhebat

PENDUDUK memeriahkan Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 di Dataran MBI, Kuala Perlis semalam. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pertandingan keceria­an kampung bersempena Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 pada 18 dan 20 September lalu antara yang cukup menarik perhatian, sekali gus bakal diperhebat penganjuran tahun depan.

Pertandingan keceriaan kampung tersebut menyaksikan suasana di setiap perkampungan nelayan umpama temasya yang cukup meriah. Setiap perkampung nelayan tersebut dihias indah termasuk dengan gemerlapan lampu menerangi seluruh kampung nelayan di Kuala Perlis selain pelbagai aktiviti lain yang cukup mengujakan.

Berikutan sambutan cukup mengalakkan, Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah mahu aktiviti itu diperhebatkan sempena pesta air Kuala Perlis tahun depan.

Katanya, penduduk di setiap kampung berganding bahu menghias perkampungan masing-masing selain kesemua mereka mengenakan pakaian tradisional, menyajikan makanan tradisi dan pelbagai lagi, sekali gus menghidupkan suasana pesta di Kuala Perlis.

“Bila kita masuk ke kampung-kampung ini, cukup meriah dan saya rasa melebihi pesta hari raya. Semua kampung bekerja­sama memeriahkan pertan­dingan keceriaan kampung. Saya lihat daripada pertandingan ke­ceriaan kampung tersebut ia turut memperlihatkan perpaduan dalam kalangan masyarakat ma­lah orang luar turut hadir.

“Pada tahun hadapan, kita berhasrat untuk menumpukan kepada penganjuran acara keceriaan kampung yang mendapat sambutan cukup menggalakkan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 di Dataran MBI, di sini semalam.

Lebih 55,000 pengunjung memeriahkan penganjuran pesta air berkenaan yang berlangsung secara dua fasa bermula dari 4-6 September dan 18-20 September.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, sambutan penganjuran pesta air yang hebat itu merupakan pencapaian cukup baik malah banyak lokasi seperti tempat perniagaan, kedai makan, inap desa dan hotel dipenuhi pengunjung.

Katanya, menerusi penganjuran acara peringkat antarabangsa itu, ekonomi setempat khususnya Kuala Perlis dan ne­geri ini juga dapat berjalan dengan sempurna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×