CMH Specialist Hospital catat hasil RM40.22 juta

CMH Specialist Hospital catat hasil RM40.22 juta

LEE Tian Hock (tengah) pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-92 NSCMA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CMH Specialist Hospital mencatatkan hasil sebanyak RM40.22 juta bagi tempoh lima bulan pertama tahun kewangan 2027 sehingga Ogos lalu, lima peratus melebihi sasaran bagi tempoh sama.

Presiden Persatuan Bersalin Cina Negeri Sembilan (NSCMA), Datuk Seri Lee Tian Hock berkata, pencapaian itu memberi asas kepada kumpulan untuk terus mengejar sasaran hasil RM92 juta dan keuntungan selepas cukai RM10 juta bagi keseluruhan tahun kewangan 2027.

Katanya, kumpulan turut menyasarkan kadar penggunaan katil sebanyak 75 peratus bagi tahun kewangan berkenaan.

“Kami yakin dengan komitmen dan usaha berterusan seluruh warga organisasi, sasaran hasil dan keuntungan tahun kewangan 2027 dapat dicapai secara berperingkat,” katanya dalam ucapan pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-92 Persatuan Bersalin Cina Negeri Sembilan (NSCMA).

Bagi tahun kewangan 2026, kumpulan merekodkan hasil RM80.74 juta, keuntungan kasar RM29.02 juta dan keuntungan selepas cukai RM1.96 juta.

Prestasi itu lebih rendah berbanding tahun kewangan 2025 apabila kumpulan mencatatkan hasil RM90.90 juta, keuntungan kasar RM34.5 juta dan keuntungan selepas cukai RM3.40 juta.

Penurunan prestasi tersebut berlaku ketika hospital melaksanakan kerja-kerja pengembangan dan pembinaan yang memberi kesan sementara terhadap operasi, selain berdepan peningkatan kos perubatan dan persaingan pasaran yang semakin sengit.

Kadar penggunaan katil juga menurun kepada 71 peratus pada tahun kewangan 2026 daripada 79 peratus pada tahun kewangan sebelumnya.

Bagaimanapun, kumpulan menyasarkan kadar penggunaan katil meningkat kepada 75 peratus bagi tahun kewangan 2027.

Dalam pada itu, sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan jangka panjang, CMH Specialist Hospital akan membangunkan blok perubatan 10 tingkat dengan anggaran kos RM110 juta.

Katanya, proses tender bagi projek fasa dua  itu telah selesai dan kerja pembinaan dijangka bermula November ini sebelum disiapkan pada akhir 2029.

“Daripada kos keseluruhan tersebut, RM70 juta akan dibiayai menerusi pembiayaan bank, manakala selebihnya menggunakan dana daripada terbitan penempatan persendirian.

“Apabila siap, kapasiti katil hospital akan meningkat daripada 66 kepada 166 katil, manakala jumlah klinik pakar bertambah daripada 16 kepada 45 klinik.

“Pengembangan itu dijangka memperkukuh keupayaan hospital dalam memenuhi peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan di Negeri Sembilan,” katanya.

Sebelum ini, kumpulan berjaya mengumpul RM45 juta menerusi terbitan penempatan persendirian yang dilaksanakan pada Ogos 2025 dan diselesaikan pada 5 September 2025.

Dana tersebut diperuntukkan bagi menyokong pembangunan jangka panjang, termasuk projek pengembangan hospital dan pemerolehan peralatan perubatan.

Selain itu, bangunan parkir bertingkat bernilai kira-kira RM10 juta telah dibuka pada Februari lalu, menyediakan tambahan 310 petak parkir kepada pesakit dan pengunjung.

Dalam pada itu, hospital terus mengekalkan fokus terhadap penyediaan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan mampu milik.

“Purata bil kemasukan pesakit di CMH Specialist Hospital kini sekitar RM7,800, berbanding kira-kira RM12,500 di hospital swasta lain yang lebih besar.

“Perbezaan kira-kira RM4,700 itu dilihat memberi pilihan kepada masyarakat, khususnya keluarga berpendapatan sederhana dan warga emas.

“Matlamat kami bukan untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang semakin mahal. Sebaliknya, sambil mengekalkan standard profesional perubatan dan kualiti perkhidmatan, kami mahu memastikan masyarakat terus mempunyai akses kepada pilihan penjagaan kesihatan yang berkualiti, berpatutan dan dipercayai,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×