TEHERAN: Iran telah menyampaikan syarat-syarat damainya kepada Amerika Syarikat (AS) melalui pengantara dari Qatar, kata pegawai keselamatan tertinggi negara itu, Mohsen Rezaei.
Beliau berkata bahawa penerimaan syarat berkenaan adalah demi kepentingan AS.
Tempoh 60 hari yang diperuntukkan di bawah memorandum persefahaman (MoU) AS-Iran bagi merundingkan penyelesaian berakhir bulan lalu tanpa sebarang persetujuan dicapai, manakala gangguan terhadap trafik maritim melalui Selat Hormuz terus mendorong kenaikan harga tenaga.
“Tujuh syarat yang ditetapkan Iran bagi memulakan sebarang rundingan telah disampaikan kepada pentadbiran AS.
“Mesej Teheran jelas dan tidak berbelah bahagi (iaitu) Jika Washington mahu keluar daripada kesulitan yang diciptanya sendiri dan mengelak daripada terus terjerumus ke dalamnya, ia tiada pilihan selain mengiktiraf hak Iran dan menerima syarat-syaratnya,” tulis Rezaei di X pada Sabtu.
Dalam wawancara dengan Al Jazeera, Rezaei, setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran berkata, syarat berkenaan termasuk menamatkan perang di semua medan, pembebasan dana Teheran yang dibekukan dan menamatkan sekatan laut.
Pegawai Iran sebelum ini berkata, mereka turut menuntut pengunduran tentera AS dari rantau itu serta pampasan atas serangan AS dan Israel yang dilancarkan pada 28 Februari.
“Ancaman Trump tidak akan membuahkan sebarang hasil. Kami bersedia menghadapi perang,” kata Rezaei.
Presiden AS, Donald Trump, pada Rabu berkata: “Adalah diharapkan kita sudah menuju ke penghujung perang.”
Beliau memberi gambaran bahawa Iran mahu mencapai persetujuan.
Bagaimanapun, pada hari berikutnya, beliau sekali lagi mengancam untuk memusnahkan kepimpinan Iran jika konflik itu tidak berakhir mengikut syarat yang ditetapkannya. – AGENSI











