DPK Nafas catat untung RM8.13 juta, agih pulangan sehingga 7 peratus

DPK Nafas catat untung RM8.13 juta, agih pulangan sehingga 7 peratus

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dana Peladang Kebangsaan (DPK) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mencatat keuntungan bersih sebanyak RM8.13 juta bagi tahun kewangan lepas.

Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Ariffin berkata, struktur agihan bagi 2025 merangkumi dividen asas sebanyak tiga peratus untuk semua pelaburan yang layak, selain bonus khas empat peratus bagi RM5,000 pertama pelaburan.

Katanya, ia sekaligus memberi pulangan efektif maksimum sehingga tujuh peratus kepada 7,462 ahli yang mempunyai jumlah pelaburan RM5,000 dan ke bawah.

“Nilai portfolio DPK terus menunjukkan pertumbuhan modal apabila setiap RM1 pelaburan kini mempunyai nilai semasa RM1.40, mencerminkan pertumbuhan modal kumulatif sebanyak 40 peratus.

“Prestasi tersebut mencerminkan pengurusan dana, kecairan dan risiko secara berdisiplin, sekali gus membolehkan DPK mengekalkan kedudukan kewangan yang berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Faris berkata, dasar agihan bagi tahun 2025 dirangka bagi memastikan prestasi dana dapat diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada ahli, selain mengekalkan asas kewangan yang kukuh untuk pertumbuhan jangka panjang.

“Keutamaan DPK sentiasa jelas, iaitu melindungi modal pokok ahli sambil menjana pulangan yang mampan.

“Prestasi nilai semasa RM1.40 bagi setiap RM1 membuktikan integriti pengurusan aset kami dalam memelihara dana ahli daripada ketidaktentuan pasaran.

“Struktur agihan dividen asas dan bonus khas ini dirangka khusus bagi memberi manfaat pulangan efektif maksimum sehingga tujuh peratus kepada 7,462 ahli yang mempunyai jumlah pelaburan RM5,000 dan ke bawah,” katanya.

Menurut beliau, keputusan mengekalkan sebahagian modal dalam dana rizab merupakan langkah berhemah bagi membina penampan mudah tunai (liquidity buffer) dan memperkukuh daya tahan dana.

“Langkah ini juga meletakkan DPK pada kedudukan yang lebih baik untuk merebut peluang pelaburan strategik pada masa hadapan,” katanya.

Keuntungan bersih RM8.13 juta itu turut mencerminkan keupayaan DPK menjana prestasi positif meskipun berdepan persekitaran pasaran kewangan dan kitaran makroekonomi yang mencabar. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×