ISLAMABAD: Kebakaran yang mengorbankan 14 bayi di wad bersalin di ibu negara Pakistan bulan lalu berpunca daripada kegagalan sistemik dan institusi di hospital Institut Sains Perubatan Pakistan (PIMS), Islamabad, menurut siasatan rasmi.
Kebakaran dahsyat yang berlaku pada awal pagi itu tercetus di tingkat tiga Wad Kesihatan Ibu dan Anak di hospital awam utama itu pada 26 Ogos.
Laporan rasmi bertarikh 7 September dan dilihat AFP pada Khamis mendapati tiada pengesan asap atau sistem penyembur air berfungsi, manakala punca kebakaran dipercayai berpunca daripada unit penghawa dingin yang rosak.
Saksi menggambarkan kepada AFP keadaan kelam-kabut dan mengerikan pada hari kejadian, termasuk asap tebal, kaca pecah dan tindak balas perkhidmatan kecemasan yang perlahan.
Seorang ibu yang kehilangan bayinya dalam kebakaran itu berkata, pintu ke unit rawatan rapi neonatal berkunci, sekali gus menyukarkan usaha menyelamat.
Laporan setebal 42 halaman yang dikeluarkan dalam tempoh beberapa minggu selepas kebakaran itu menyatakan bahawa kegagalan sistemik dan institusi telah dikenal pasti, manakala tanggungjawab individu berbeza berdasarkan kekuatan bukti.
“PIMS dan pengurusan kanannya memikul tanggungjawab institusi utama kerana gagal menukar risiko yang diketahui, amaran terdahulu dan tugas yang telah diberikan kepada satu sistem keselamatan yang berkesan,” menurut laporan itu.
Kebakaran di bangunan besar kerap berlaku di Pakistan, sering berpunca daripada undang-undang keselamatan dan kod bangunan yang lemah, selain penguatkuasaan serta prosedur kecemasan yang longgar.
Siasatan terhadap kebakaran hospital itu mendapati tiada prosedur pemindahan khusus untuk wad bayi dilaksanakan, begitu juga tiada sistem pengesanan asap automatik, penggera atau penyembur air yang berfungsi dibuktikan tersedia untuk kawasan terjejas.
“Bukti teknikal paling kukuh menunjukkan lokasi paling berkemungkinan kebakaran bermula ialah kabel bekalan kuasa kepada unit penghawa dingin, menurut laporan itu.
Walaupun terdapat beberapa dakwaan bahawa tindak balas kecemasan adalah perlahan, laporan itu menolak sebarang dakwaan umum bahawa anggota barisan hadapan meninggalkan bayi yang baharu lahir. – AFP










