Warga Singapura meninggal dunia di gunung kelapan tertinggi dunia - Utusan Malaysia

Warga Singapura meninggal dunia di gunung kelapan tertinggi dunia

PEMANDANGAN udara menunjukkan Banjaran Gunung Annapurna yang lebih rendah dari Gunung Manaslu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Seorang pendaki warga Singapura meninggal dunia pada Khamis di Gunung Manaslu, Nepal, puncak kelapan tertinggi di dunia, menurut penganjur ekspedisi.

Pendaki berusia 50 tahun itu berasa tidak sihat ketika menuruni gunung dari Kem II selepas menjalani proses penyesuaian diri dengan altitud.

“Beliau meninggal dunia pagi ini dan persiapan telah dibuat untuk membawa keluar mayatnya melalui udara,” kata Pemba Sherpa dari 8K Expeditions kepada AFP.

Pada musim ini, seramai 480 pendaki cuba menawan puncak gunung setinggi 8,163 meter  itu di Nepal.

Bulan ini, seorang porter Nepal berusia 20 tahun ditemukan meninggal dunia di dalam khemahnya di kem pangkalan gunung berkenaan.

Pendaki warga Singapura itu merupakan warga asing pertama yang meninggal dunia pada musim pendakian musim luruh.

Ekspedisi musim luruh di Himalaya kurang mendapat sambutan kerana tempoh siang  lebih pendek dan sejuk, kawasan yang dilitupi salji serta tempoh singkat untuk mencapai puncak berbanding musim bunga.

Nepal mengeluarkan 536 permit untuk mendaki sembilan puncak, sedikit melebihi separuh daripada jumlah permit yang dikeluarkan pada musim bunga.

Nepal mempunyai lapan daripada 14 puncak tertinggi di dunia dan kehadiran pendaki asing datang ke pergunungannya merupakan sumber pendapatan utama negara itu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×