PETALING JAYA: Beban perbelanjaan memasuki universiti dapat dikurangkan dengan banyak menerusi Bantuan Khas Pembelian Tiket Penerbangan.
Ini kerana kos tiket adalah antara kos terbesar bagi pelajar baharu untuk memulakan pengajian.
Bantuan secara sekali beri sebanyak RM500 itu bukan sahaja meringankan tanggungan keluarga malah membolehkan wang untuk penerbangan digunakan bagi menyediakan kelengkapan pengajian serta keperluan sepanjang berada di kampus.
Rata-rata bakal mahasiswa yang akan menyambung pengajian antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak berharap bantuan itu diteruskan supaya pelajar baharu pada masa depan turut menerima manfaat sama.
Bagi Dannie Asyheera Mohd. Rakah, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal menyambung pengajian diploma di Semenanjung, bantuan itu mengurangkan jumlah wang yang perlu disediakan keluarganya menjelang hari pendaftaran.
Katanya, persediaan memasuki universiti dibuat secara berperingkat dengan mendahulukan barang keperluan asas supaya perbelanjaan untuk pengajiannya dapat disesuaikan dengan kemampuan keluarga.
“Sebelum berangkat, saya perlu menyediakan kelengkapan asrama dan barang kegunaan harian. Saya menggunakan semula barang yang masih elok supaya tidak terlalu banyak membeli yang baharu.

“Wang yang dapat dijimatkan daripada perbelanjaan tiket boleh dijadikan bekalan makan minum pada awal semester. Saya mahu menguruskan wang itu dengan baik supaya cukup sementara menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampus.
“Saya lega menerima bantuan ini kerana ibu bapa juga mempunyai tanggungan lain di rumah. Bantuan seperti ini sangat bermakna ketika keluarga membuat persediaan menghantar anak belajar jauh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Muhammad Amer Aqasha Mahadzir yang bakal mengikuti pengajian ijazah sarjana muda di Sabah menyifatkan bantuan diterimanya sebagai sokongan kerajaan terhadap pelajar yang mendapat tawaran pengajian jauh dari negeri asal.
Katanya, tiket pesawat adalah perkara yang perlu diambil kira sejak menerima tawaran universiti kerana perjalanan untuk mendaftar memerlukan perancangan berbeza berbanding belajar berhampiran rumah.
“Sebagai penerima, saya bersyukur kerana ada bantuan khusus untuk perjalanan ke universiti. Walaupun diberikan sekali sahaja, bantuan ini tetap bermakna untuk saya yang baru hendak memulakan pengajian di Sabah,” katanya.- UTUSAN










