MPP harap tiada lagi pelajar tolak tawaran IPTA

MPP harap tiada lagi pelajar tolak tawaran IPTA

PELAJAR yang tidak berjaya mendapat tempat di IPTA tidak seharusnya berputus asa kerana masih banyak laluan pendidikan yang boleh dipilih.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ada bakal mahasiswa terpaksa menolak tawaran pengajian merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak kerana kos tiket pe­nerbangan yang tinggi.

Itu realiti yang dihadapi sebahagian anak muda daripada keluarga kurang berkemampuan apabila perlu menanggung kos perjalanan serentak dengan perbelanjaan pendaftaran, penginapan dan keperluan awal pengajian.

Presiden Majlis Perundi­ngan Pelajar (MPP) Kebangsaan, Muhammad Irfan Firdaus Md. Fauzi berkata, mereka bukannya tidak mahu melanjutkan pengajian, sebaliknya tidak mampu menanggung kos pe­r­jalanan pada peringkat awal.

Katanya, kos perjalanan sememangnya menjadi antara pertimbangan keluarga apabila anak mereka menerima tawaran pengajian jauh dari kampung halaman.

“Kita bercakap tentang kos yang perlu ditanggung dan pada waktu sama keluarga juga perlu menyediakan ke­perluan pendaftaran, penginapan dan perbelanjaan awal mahasiswa.

“Bantuan tiket penerba­ngan RM500 merupakan satu langkah yang sangat membantu dan berharap tiada lagi yang menolak tawaran sama ada ke Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, kerajaan me­ngumumkan Bantuan Khas Pembelian Tiket Penerbangan domestik secara one-off atau sekali beri bernilai RM500 kepada setiap pelajar baharu Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang layak bagi sesi kemasukan September atau Oktober ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan khas itu sebahagian daripada beberapa ikhtiar pen­ting demi meringankan beban rakyat serta memperkukuh hubungan antara kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak.

Menurut Muhammad Irfan, kepemimpinan mahasiswa turut menerima dan mende­ngar kebimbangan pelajar berkaitan kos perjalanan khususnya mereka yang perlu menempuh perjalanan jauh untuk mendaftar.

Justeru, beliau berkata, bantuan tersebut perlu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda kebajikan dalam meringankan tanggungan kos sara hidup mahasiswa, bukan sekadar bantuan sekali beri.

Katanya, cadangan untuk memperluaskan bantuan bagi perjalanan pulang ketika cuti semester atau musim pera­yaan juga wajar dikaji berdasarkan kemampuan dan keberkesanan pelaksanaannya.

“Bagaimanapun, bantuan mobiliti tidak seharusnya tertumpu kepada penerbangan sahaja kerana ramai mahasiswa di Semenanjung menggunakan bas sebagai pengangkutan utama.

“Sebagai contoh, mahasiswa dari Johor yang belajar di Kuala Lumpur mungkin perlu membayar sekitar RM40 hingga RM60 untuk satu perjalanan. Jika pergi dan balik, kosnya boleh mencecah antara RM80 hingga RM120.

“MPPK sebelum ini juga melihat ruang untuk satu bentuk bantuan mobiliti mahasiswa seperti RM200 setahun khusus bagi perjalanan bas jarak jauh antara kampus dengan kampung halaman,” katanya.

Menurut beliau, bantuan mobiliti mahasiswa perlu bersifat inklusif mengikut realiti perjalanan mereka, dengan pelajar Sabah dan Sarawak mungkin memerlukan bantuan penerbangan.

Selain itu katanya, bagi pelajar di Semenanjung pula lebih memerlukan bantuan bas atau pengangkutan jarak jauh.

“Jangan sampai seorang mahasiswa mendapat tawaran universiti yang baik, tetapi akhirnya perjalanan untuk sampai ke universiti menjadi satu lagi beban yang terpaksa difikirkan oleh keluarga.

“Bagi kami di MPPK, mobi­liti mahasiswa bukan kemewahan. Ia adalah sebahagian dari­pada kos untuk mendapatkan pendidikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×