Pesta Air lonjak nama Perlis di mata dunia

Pesta Air lonjak nama Perlis di mata dunia

PERLUMBAAN perahu naga membabitkan peserta dari 15 negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERUSAN Kampung Wai, Kuala Perlis di sini menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia berikutan pemandangan cukup memukau selain keindahan bukit batu kapur berusia lebih 500 juta tahun serta airnya yang kehijauan.

Pada 4 hingga 6 September lalu buat pertama kalinya berlangsung pertandingan atau perlumbaan perahu naga bersempena Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 membabitkan 1,200 peserta dari lebih 15 buah negara.

Usaha Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah dan kerajaan negeri dalam menampilkan kelainan sempena pesta air edisi kali ini berjaya apabila hampir 40,000 pengunjung yang hadir begitu teruja menyaksikan perlumbaan perahu naga di terusan menghijau, sangat unik.

ABU Bakar Hamzah menyampaikan hadiah kepada para pemenang perlumbaan perahu naga.

Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 berlangsung secara dua peringkat dengan fasa pertama dari 4 hingga 6 September dan fasa kedua pada 18 hingga 20 September.

Pertandingan perahu tradisi membabitkan peserta yang mewakili perkampungan nelayan masing-masing di Kuala Perlis kekal berlangsung di lokasi kebiasaan di muara Sungai Kuala Perlis pada fasa kedua pesta air antarabangsa itu.

Selain pertandingan perahu naga antarabangsa dan perahu tradisi, pesta air berkenaan juga meriah dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan keceriaan kampung, perahu berhias, sukan rakyat dan pelbagai lagi.

Perasmian yang disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Dataran Kampung Wai pada malam 4 September lalu juga berlangsung cukup meriah dan gilang-gemilang dengan lintas hormat Perahu Diraja Jarum Emas Putra Jamalullail, perarakan perahu berhias, pertunjukan simfoni air, persembahan kebudayaan dan artis jemputan, Misha Omar.

Sejurus selepas itu, pertunjukan bunga api yang menerangi suasana malam di perkampungan nelayan Kuala Perlis, menandakan bermulanya acara tahunan terbesar di negeri ini.

Majlis penutup pada 20 September di tapak MBI Kuala Perlis dijadual disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Pesta air yang bermula sejak tahun 1961 atau lebih 60 tahun lalu itu merupakan acara tradisi penduduk Kuala Perlis yang boleh diibaratkan seperti perayaan setiap kali ia berlangsung selain turut menarik puluhan ribu pengunjung.

Penganjuran Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis yang memperkenalkan identiti, warisan dan potensi Kuala Perlis sebagai destinasi pelancongan pesisir air yang unik bukan lagi sebagai acara domestik sebaliknya berjaya menarik kunjungan dari seluruh dunia.

Kejayaan pesta air tersebut turut mendapat perhatian Tuanku Syed Sirajuddin yang berharap pembangunan pelancongan di Kuala Perlis dapat memberikan limpahan ekonomi secara langsung kepada rakyat. Penganjuran pesta air berkenaan turut menjadi platform bagi memperkenalkan makanan, kraf, seni budaya serta hasil komuniti Perlis kepada pengunjung dari dalam mahu pun luar negara.

“Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis mempunyai nilai sejarah dan warisan yang tersendiri. Tradisi perlumbaan perahu, kehidupan masyarakat nelayan serta hubungan rakyat dengan sungai dan laut merupakan sebahagian daripada identiti Kuala Perlis yang wajar dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang,” titah baginda.

Abu Bakar berkata, Kuala Perlis mempunyai keunikan tersendiri dan ia dapat dilihat melalui kehidupan nelayan, warisan perahu tradisional, budaya masyarakat pesisir, makanan laut, gastronomi tempatan serta keindahan muara dan perairan di situ.

Katanya, kesemua elemen tersebut merupakan aset tidak boleh dicipta semula di tempat lain dan penganjuran pesta berkenaan merupakan satu usaha untuk memastikan warisan Perlis terus hidup dan diwarisi oleh generasi muda.

“Perahu tradisional, kemahiran mendayung, kehidupan masyarakat pesisir serta budaya yang lahir daripada hubungan manusia dengan laut merupakan sebahagian daripada sejarah dan identiti di negeri ini. Kita juga tidak mahu warisan ini hanya tinggal sebagai cacatan sejarah.

“Kita mahu anak-anak muda mengenali, menyertai dan berbangga dengannya. Sebab itu, elemen tradisional dalam pesta air perlu terus diperkasa dan pada masa sama diberikan nafas baharu supaya mampu diterima generasi masa kini serta menjadi tarikan pelancong antarabangsa,” katanya.

Abu Bakar berkata, penganjuran tahun ini mensasar lebih 50,000 pengunjung dari dalam dan luar negara dengan diharapkan penganjuran tersebut terus menjadi penyumbang ekonomi setempat dan menarik lebih ramai pengunjung.

“Alhamdulilah kejayaan penganjuran pesta air kali ini juga adalah hasil kerjasama erat dan sokongan pelbagai pihak daripada kementerian, jabatan dan agensi negeri serta Persekutuan terutama Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (PSSI) selaku sekretariat induk Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026.

“Kita juga menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya serta Kementerian Ekonomi atas sokongan kepada penganjuran pesta air berkenaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×