Bantuan tiket penerbangan RM500 untuk pelajar baharu IPTA

Bantuan tiket penerbangan RM500 untuk pelajar baharu IPTA

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bantuan Khas Pembelian Tiket Penerbangan domestik secara sekali beri bernilai RM500 akan diberikan kepada setiap pelajar baharu institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang layak bagi sesi kemasukan September atau Oktober ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan khas itu diberikan bagi meringankan beban rakyat serta memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak.

“Alhamdulillah, dalam Amanat Hari Malaysia, saya mengumumkan beberapa ikhtiar penting demi meringankan beban rakyat serta memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak.

“Antaranya termasuk hak pemberian khas untuk negeri Sarawak, penambahbaikan ikhtiar Budi Madani Diesel (Budi Diesel) untuk rakyat serta Bantuan Khas Pembelian Tiket Penerbangan secara sekali beri (one-off) kepada setiap pelajar baharu IPTA yang layak,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Anwar ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2026 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam tadi mengumumkan inisiatif hak pemberian khas untuk Sarawak dan menambah baik kemudahan pemindahan kelayakan Budi Diesel.

Inisiatif itu membenarkan pemilik berdaftar yang layak bawah Budi Diesel boleh memindahkan kelayakan kepada maksimum tiga individu yang benar-benar menggunakan kenderaan terbabit, berkuat kuasa serta-merta.

Anwar berkata, langkah berkenaan adalah antara usaha kerajaan untuk memastikan manfaat kemajuan negara dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

“Ikhtiar ini turut memaknai semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai waad nasional yang mesti terus diterjemahkan melalui penghormatan terhadap hak serta kepentingan Sabah dan Sarawak dalam kerangka Persekutuan.

“Saya dan seluruh pasukan Kerajaan Madani akan terus bekerja keras memastikan setiap kemajuan negara diterjemahkan kepada manfaat yang dirasai rakyat, agar Sabah, Sarawak dan Semenanjung terus melangkah bersama menuju kehidupan yang lebih sejahtera dan bermaruah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×