KUALA LUMPUR: Pelakon, Zara Zya menegur lelaki berstatus suami orang yang cuba mendekatinya untuk berhenti meninggalkan mesej langsung (DM) di media sosial.
Menurut Zara atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 40, rata-rata pesanan mesej yang diterima dari golongan tersebut bukan sahaja melampaui batas, malah tidak menghormati isteri mereka.
“Saya tiada masalah memberi respons, tetapi saya fikir masa depan kerana kita tidak tahu tujuan serta isi hati orang.
“Ramai DM termasuk peminat wanita. Cuma kalau boleh, suami orang tak payahlah mesej hendak menggatal. Risau saya.
“Kadang-kadang saya nasihatkan dalam siaran langsung. Tak payah lebih-lebih, tolong hormat isteri,” katanya ketika ditemui pada pelancaran drama bersiri iQIYI Original, Sekali Lagi Bahagia, baru-baru ini.
Tidak menganggap perkara itu sesuatu hal yang remeh, Zara tidak melayan mesej yang diterima daripada golongan itu kerana enggan menimbulkan masalah yang melibatkan hubungan dan status perkahwinan seseorang.
“Ada perkara kita boleh santai serta jadikan gurauan manakala ada yang tidak. Jadi, biasanya saya tidak layan dan biarkan mesej itu tanpa balasan,” tegasnya.
Dalam masa sama, Zara mengakui dia terhibur dengan mesej berunsur gurauan dari golongan muda yang dianggap sengaja mahu mengikut trend semasa.
“Budak-budak sekarang pun rajin DM. Mungkin hendak ikut trend. Tahu-tahu masuk DM cakap mahu berkenalan tapi panggil kita kakak.
“Situasi lucu macam ini yang kita seronok layan. Saya tahu mereka sekadar bergurau dan hendak mengusik. Ada juga yang nak buat konten,” katanya.
Mengenai drama bersiri arahan Jamal Khan itu, Zara yang menjayakan watak sebagai Ekin menyifatkan karakter tersebut mewakili cebisan kehidupan sebenar sebilangan kaum Hawa yang diceraikan suami .
“Emosi dalam naskhah ini ada turun naik terutama berkaitan Erin yang terpaksa menumpang di rumah bujang adik lelakinya bersama anak sebaik bergelar ibu tunggal.
“Banyak pengajaran dapat diambil dalam setiap watak serta adegan yang menonjolkan realiti dalam dunia nyata,” ujarnya.
Selain Zara, Sekali Lagi Bahagia turut dibarisi Izzue Islam, Afieq Shazwan, MK K-Clique, Datin Seri Noniswara serta Dayang Areeda.










