Anwar kenang malam paling murung dalam penjara - Utusan Malaysia

Anwar kenang malam paling murung dalam penjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa malam pemergian ibunya ketika beliau berada dalam penjara adalah detik paling murung dan luluh dalam sejarah hidupnya.

Perdana Menteri berkata, pengalaman berada di sebalik tirai besi tanpa dapat berbuat apa-apa ketika insan paling dikasihi menghembuskan nafas terakhir adalah ujian yang amat berat untuk ditanggung.

“Malam itu memang malam paling murung buat saya, bayangkan ibu yang tercinta kembali ke rahmatullah dan kita sedang meringkuk dalam bilik kurungan penjara.

“Saya tak mampu berbuat apa-apa selain dari solat, membaca al-Quran dan berdoa. Sehinggalah pada keesokan harinya saya diizinkan keluar untuk ke rumah dan solat jenazah,” katanya ketika menjadi tetamu podcast Sembang OhhYeahh!

Mengimbas kembali detik berkenaan, Anwar berkata, beliau menerima perkhabaran mengenai keadaan ibunya daripada isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Isteri saya maklumkan ibu sedang tenat. Jadi, pada ketika itu saya merayulah, supaya saya dapat jumpa sekejap pun tidak mengapa.

“Akhirnya selepas berusaha, saya diberitahu bahawa dibenarkan untuk berjumpa sekitar setengah jam di hospital. Ibu saya sedang tenat, tapi dia sedar dan sangat gembira. Saya kemudiannya pulang (ke penjara), sejurus selepas itu dia meninggal dunia,” katanya.

Menyifatkan kehilangan ibu bapa sebagai detik sukar buat sesiapa saja, beliau secara jujur mengakui bahawa ujian kehilangan seorang ibu membawa impak emosi yang jauh lebih mendalam berbanding bapa.

“Lebih jauh lebih sukar kehilangan ibu daripada ayah. Sukar kehilangan ayah, tapi tak sama dengan kehilangan ibu,” katanya.

Selain episod duka pemergian ibunda, Perdana Menteri turut mendedahkan pelbagai liku penderitaan yang terpaksa dilaluinya sepanjang berada dalam tahanan, termasuk dipukul hingga pengsan pada hari pertama dipenjarakan.

Namun, beliau menegaskan tidak pernah menyerah kalah kerana memikirkan nasib generasi muda dan perjuangan membawa perubahan demi menyelamatkan negara daripada kerosakan rasuah serta penindasan.

“Perjuangan ni tidak mudah dan harus dibayar dengan harga yang tinggi. Kalau saya mengalah, maka seluruh generasi tu akan terbelakang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×