Bagi usahawan dan pempengaruh, Boss James, kejayaan sesebuah perniagaan bukan sekadar diukur melalui jumlah jualan atau bilangan cawangan yang berjaya dibuka.
Sebaliknya, kebahagiaan pekerja, suasana kerja yang harmoni dan usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat turut menjadi keutamaan yang perlu diberi perhatian.
Usahawan berusia 34 tahun itu percaya, pekerja yang dihargai akan lebih bersedia memberikan komitmen terbaik kepada syarikat. Justeru, pendekatan menjaga kebajikan pasukan bukan sekadar tanggungjawab seorang majikan, malah menjadi sebahagian daripada strategi untuk memastikan perniagaan terus berkembang.
Berkongsi mengenai perkembangan terbaharu perniagaannya, Boss James atau nama sebenarnya Ng Yee Sheng berkata, syarikatnya masih berada dalam fasa kemajuan dan giat berusaha mencari pendekatan baharu untuk mencapai kejayaan lebih besar.
“Secara keseluruhannya, saya rasa bisnes masih dalam langkah kemajuan. Kami sedang berusaha mencari cara baharu untuk menjadi lebih berjaya.
“Kami berharap dapat membuka lebih banyak cawangan baharu dan menetapkan sasaran jualan lebih tinggi pada masa akan datang. Paling penting, kami mahu memberikan mutu hidup lebih baik kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ketika ini, Boss James mempunya mempunyai tiga cawangan kedai motor yang beroperasi di Selangor, masing-masing di Puncak Alam, Setia Alam dan Kapar.
Walaupun jumlah itu masih kecil berbanding sesetengah syarikat yang sudah lama bertapak, Boss James melihatnya sebagai permulaan kepada perjalanan yang lebih besar.
Malah, Elmina menjadi antara lokasi yang dipertimbangkan untuk pembukaan cawangan baharu. Perancangan itu memperlihatkan keyakinan syarikat untuk terus mengembangkan perniagaan serta mendekatkan perkhidmatannya kepada lebih ramai pelanggan.
JAGA KEBAJIKAN PEKERJA
Namun, di sebalik sasaran jualan dan rancangan pembukaan cawangan, Boss James tidak mahu aspek pengurusan pekerja dipandang ringan. Baginya, kerja berpasukan merupakan elemen penting yang menentukan kekuatan sesebuah organisasi.
Dia mengakui, tekanan di tempat kerja merupakan perkara biasa yang tidak dapat dielakkan. Dalam apa-apa bidang sekalipun, setiap pekerja pasti berdepan cabaran dan tuntutan tugas masing-masing.
“Jujurnya, di mana-mana tempat kerja pun ada tekanan. Kalau tempat kerja langsung tiada tekanan, itu bukan tempat kerja,” katanya.
Namun, tekanan bukan alasan untuk majikan mengabaikan kebajikan pekerja. Bagi mengurangkan beban dan mengeratkan hubungan sesama pasukan, Boss James sering mengadakan aktiviti bersama secara berkala.
Katanya, setiap bulan, pekerjanya berpeluang menyertai acara makan-makan bersama pasukan selain pelbagai aktiviti riadah turut dianjurkan mengikut minat mereka, termasuk badminton, bola sepak dan boling.

Menurut Boss James, aktiviti sebegitu bukan sahaja memberi ruang kepada pekerja untuk berehat seketika daripada rutin kerja, malah membantu membina hubungan yang lebih rapat antara satu sama lain.
“Syarikat turut menyediakan insentif berdasarkan pencapaian pekerja dalam tempoh tertentu. Setiap tiga bulan, enam bulan dan pada penghujung tahun, ganjaran diberikan sebagai penghargaan terhadap usaha serta prestasi pasukan.
“Kalau mereka mencapai sasaran, mungkin kami adakan makan-makan yang lebih besar. Mereka juga boleh memilih aktiviti seperti bermain paintball atau menghadiri acara tertentu.
“Untuk tempoh enam bulan pula, ada insentif tambahan sekiranya mereka mencapai sasaran kedua. Akhir sekali, sudah tentu ada bonus seperti syarikat-syarikat lain,” jelasnya.
Katanya, pekerja akan lebih bermotivasi apabila usaha mereka dihargai dalam tempoh yang lebih singkat. Setiap kemajuan yang dicapai wajar diraikan supaya mereka dapat melihat hala tuju dan masa depan yang lebih cerah bersama syarikat.
SUASANA KERJA POSITIF
Boss James turut menekankan kepentingan suasana kerja yang inklusif dan saling menghormati.
Menurutnya, apabila pekerja berasa dihormati dan diterima sebagai sebahagian daripada pasukan, mereka akan lebih bersedia menyumbang tenaga tanpa merasakan setiap tugasan tambahan sebagai satu beban.
Pendekatan itu secara tidak langsung membantu meningkatkan komitmen dan prestasi kerja.
“Bos kena pandai mengurus. Kalau bos sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik, memang boleh terbalik perniagaan,” katanya.
Boss James memberitahu, dia kini mempunyai lebih 50 orang pekerja dan masih membuka peluang kepada individu yang berminat untuk menyertai pasukan berkenaan.










