KUALA LUMPUR: Sambutan program Keretapi Sarong 2026 (KS26) tahun ini tampil dengan mesej mengajak rakyat Malaysia bukan hanya menggayakan busana tradisional tetapi menghayati makna sebenar ‘Sayang Malaysia’ menerusi ikatan perpaduan dan silaturahim.
Pengasas bersama pertubuhan pencinta komuniti Locco yang menyeliakan program berkenaan, Shamsul Bahrine Zainuzzaman berkata, penganjuran Keretapi Sarong bukan hanya pada pemakaian yang memenuhi stesen pengangkutan awam, sebaliknya pada hubungan yang terjalin.
“Perkara paling penting bukanlah apa yang kita pakai tetapi siapa yang berdiri di sebelah kita, mungkin seseorang yang berbeza kaum, bahasa, kepercayaan, negeri atau latar kehidupan tetapi tetap berkongsi tanah air yang sama,” katanya.
Menurut Shamsul, di Lembah Klang, para peserta memulakan perjalanan dari 12 stesen terpilih sebelum bergerak ke destinasi rahsia manakala semangat sama turut digerakkan secara serentak oleh komuniti tempatan di Padang Besar, Langkawi, Sungai Petani, George Town, Ipoh, Melaka, Johor Bahru, Kota Bharu dan Kuantan.
Bagaimanapun, penganjuran di Kuching yang dijadualkan sebagai penyertaan rasmi pertama di luar Semenanjung terpaksa ditunda ke bulan Disember 2026 berikutan isu jerebu di Sarawak. – UTUSAN










