Model pengurusan ladang bersepadu, meningkatkan purata pendapatan kasar 57 peserta di kelompok Permatang Pauh sebanyak 127 peratus
PERMATANG PAUH: Intervensi pengurusan ladang yang dilaksanakan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) di Kampung Sama Gagah dan Kepala Bukit berjaya melonjakkan pendapatan kasar seorang pesawah daripada RM4,800 kepada RM12,800 sehektar, bersamaan peningkatan kira-kira 167 peratus.
Pencapaian itu direkodkan Ketua Projek SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) BERNAS Permatang Pauh, Halmi Desa, selepas hasil sawahnya meningkat daripada 2.4 tan metrik (MT) sehektar pada Musim 1/2025 kepada 6.4 MT pada Musim 1/2026.
Pada skala kelompok, purata pendapatan kasar 57 peserta meningkat daripada RM3,580 kepada RM8,120 sehektar atau 127 peratus, seiring pertambahan purata hasil padi daripada 1.79 MT kepada 4.06 MT sehektar.
Angka itu memperlihatkan bahawa pendekatan pengurusan yang terancang bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah memberi pulangan ekonomi yang lebih nyata kepada pesawah.
“Bagi saya sendiri, perubahan itu sangat ketara. Sebelum menyertai SMART SBB, hasil sawah saya hanya sekitar 2.4 MT sehektar.
“Selepas mengikuti pendekatan pengurusan yang diperkenalkan melalui program ini, hasil meningkat kepada 6.4 MT sehektar dan pendapatan kasar daripada sawah saya boleh mencecah sekitar RM12,800 sehektar,” katanya baru-baru ini.

SMART SBB ialah inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), manakala BERNAS bertindak sebagai pelaksana di kawasan tersebut dengan menggabungkan pengurusan ladang secara berkelompok, kemudahan pembiayaan modal kerja, mekanisasi moden, khidmat agronomi dan pemantauan berterusan.
Menurut Halmi, projek itu kini memasuki musim ketiga dan melibatkan kawasan seluas 119 hektar, berbanding kira-kira 95 hektar pada Musim 2/2025
Pertambahan keluasan itu mencerminkan keyakinan peserta selepas melihat perubahan hasil pada musim terdahulu.
Beliau berkata, sebelum pelaksanaan program, ramai pesawah berdepan kekangan modal, peningkatan kos operasi, hasil tuaian rendah, ketidaktentuan cuaca dan masalah bekalan air serta serangan perosak dan penyakit.
BERNAS menyelaras pelaksanaan jadual kerja ladang merangkumi penyediaan tanah, penanaman dan pembajaan kepada kawalan perosak, pengurusan air serta penuaian.
“Setiap aktiviti penanaman dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan, manakala penggunaan input pertanian disesuaikan dengan keperluan tanaman pada setiap peringkat pertumbuhan,” katanya.
Halmi berkata, peserta turut boleh mendapatkan pembiayaan modal kerja bagi membantu menampung keperluan input pertanian dan operasi awal musim penanaman.
Selain kemudahan pembiayaan, BERNAS menyediakan khidmat pakar agronomi dan pegawai teknikal di lapangan serta menajalankan dan pemantauan berkala bagi membantu pesawah melaksanakan amalan pertanian yang disyorkan.
Pemantauan dilaksanakan sepanjang kitaran tanaman dengan mengambil kira keadaan kesuburan tanah dan air, tahap pertumbuhan padi serta risiko serangan perosak dan penyakit bagi memastikan tindakan yang bersesuaian dapat diambil pada setiap peringkat.
Melalui penerapan pertanian pintar, peserta turut boleh mendapatkan maklumat dan nasihat berkaitan agronomi melalui pembantu AI menerusi WhatsApp, sebagai sokongan tambahan kepada bimbingan serta pemantauan di lapangan.
Halmi berkata, pendekatan tersebut mengubah cara pesawah bekerja, daripada mengurus sawah secara bersendirian kepada sistem pengurusan berkelompok yang lebih tersusun dan berdisiplin.
Pada peringkat awal, terdapat segelintir pesawah yang masih ragu-ragu kerana pendekatan itu memerlukan mereka mengikuti jadual dan panduan yang ditetapkan. Namun, keyakinan mereka meningkat selepas melihat perubahan hasil pada musim pertama.
“Selepas melihat peningkatan hasil musim pertama pelaksanaan oleh BERNAS, semakin ramai pesawah mula yakin dan komited untuk menyertai program ini.
“Kejayaan SMART SBB bukan sekadar meningkatkan produktiviti sawah, tetapi turut mengembalikan keyakinan pesawah yang sebelum ini hampir meninggalkan sektor penanaman padi kerana hasil dan pendapatan yang tidak mencukupi,” katanya.
Pengalaman itu turut dirasai pesawah asnaf, Kamarudin Ismail, 64, yang telah mengusahakan tanaman padi selama lebih dua dekad dan menyertai program tersebut sejak dua musim lalu.
Kamarudin berkata, sebelum ini pesawah mengurus sawah secara berasingan sehingga aktiviti seperti semburan racun dan kawalan penyakit tidak dapat dilaksanakan secara serentak.
“Perubahan yang paling ketara ialah peningkatan pendapatan kerana sebelum ini saya mengusahakan sawah secara bersendirian dengan hasil yang tidak menentu, tetapi sekarang hasil semakin meningkat.
“Paling penting, kemudahan pembiayaan modal daripada BERNAS membantu kami mengurus keperluan modal kerja dengan lebih baik tanpa terlalu memikirkan kekangan kewangan pada awal musim penanaman, terutama apabila kos input pertanian dan operasi semakin meningkat,” katanya.
Kamarudin yang bergantung sepenuhnya pada tanaman padi berkata, kehidupannya kini lebih stabil.
Peningkatan pendapatan membolehkannya menyara keluarga dan menunaikan zakat daripada hasil tanaman.
Halmi berkata, pencapaian di Permatang Pauh membuktikan bahawa peningkatan pendapatan pesawah memerlukan pakej sokongan menyeluruh dan tidak bergantung pada bantuan kewangan semata-mata.
Kejayaan itu turut memerlukan disiplin peserta, pemantauan konsisten dan kerjasama BERNAS dengan Jabatan Pertanian Pulau Pinang, IADA Pulau Pinang, Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang serta Pertubuhan Peladang Kawasan.
Menurutnya, hasil dan pendapatan yang lebih baik penting bagi memastikan industri padi terus berdaya tahan. Ia juga dapat membantu mengekalkan keyakinan pesawah serta menarik generasi baharu melihat sektor ini sebagai bidang yang mempunyai potensi ekonomi.
“Padi bukan sekadar sumber makanan, tetapi merupakan warisan yang perlu dipelihara demi masa depan negara,” katanya. – UTUSAN










