KETAHANAN bekalan makanan semakin menjadi agenda strategik bagi banyak negara, termasuk Malaysia, susulan ketidaktentuan geopolitik, perubahan iklim dan gangguan rantaian bekalan global yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bagi sebuah negara yang masih bergantung kepada import untuk memenuhi sebahagian keperluan beras domestik, keupayaan mengurus bekalan secara berkesan menjadi faktor kritikal kepada kesejahteraan rakyat.
Dalam konteks ini, peranan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) sebagai pemegang konsesi import beras wajar dilihat dalam kerangka yang lebih luas, iaitu sebagai sebahagian daripada mekanisme Kerajaan dalam memastikan bekalan beras negara adalah mencukupi.
Keperluan kesiapsiagaan dalam persekitaran global tidak menentu
Perubahan dasar perdagangan antarabangsa, sekatan eksport oleh negara pengeluar serta turun naik kadar pertukaran mata wang menuntut negara mempunyai sistem pengurusan bekalan yang lebih bersedia. Pengalaman krisis makanan dunia pada era 1970-an dan 2008 menjadi pengajaran penting bahawa pergantungan kepada pasaran global tanpa mekanisme penampan boleh menjejaskan kestabilan domestik.
Dalam beberapa episod ketidaktentuan global kebelakangan ini, termasuk sekatan eksport beras putih oleh India pada tahun 2023 serta gangguan rantaian bekalan akibat konflik geopolitik, kepelbagaian sumber import menjadi antara faktor penting dalam memastikan bekalan negara kekal mencukupi.
Pengalaman BERNAS dalam mengurus perolehan beras dari luar negara dan jaringan hubungan yang dijalin dengan pembekal dari Thailand, Vietnam, Pakistan dan beberapa negara lain, berjaya memastikan beras di dalam negara sentiasa mencukupi. Selain itu, kos membawa masuk bekalan beras import turut diserap agar tidak membebankan rakyat.
Pengurusan stok memastikan beras sentiasa ada di pasaran
Selain aspek perolehan, pengurusan stok penimbal negara merupakan komponen penting dalam memastikan bekalan beras tidak terjejas ketika berlaku lonjakan permintaan atau gangguan bekalan. Pengurusan inventori, kemudahan penyimpanan serta keupayaan pengagihan yang cekap membolehkan bekalan digerakkan dengan pantas apabila diperlukan.
Kesiapsiagaan operasi ini terbukti penting ketika berlakunya pandemik COVID-19 dan kestabilan bekalan makanan menjadi keutamaan nasional. Dalam tempoh tersebut, mekanisme pengurusan bekalan oleh BERNAS membantu memastikan bekalan beras kekal tersedia di pasaran walaupun berdepan tekanan logistik global.
Walaupun import berperanan sebagai pelengkap kepada bekalan beras negara, pengeluaran domestik kekal sebagai teras utama kepada keterjaminan makanan negara. Sokongan BERNAS kepada pesawah menjadi komponen penting dalam memastikan sektor padi tempatan kekal berdaya maju.
Salah satu mekanisme utama ialah peranan sebagai Pembeli Padi Terakhir atau Buyer of Last Resort (BOLR), yang memberi jaminan pembelian padi termasuk padi rosak mengikut harga minimum yang ditetapkan tertakluk kepada proses permutuan. Mekanisme ini menyediakan kepastian pasaran kepada pesawah, khususnya ketika berlakunya lebihan hasil atau ketidaktentuan permintaan.
Selain itu, pengurusan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) bagi pihak kerajaan membantu memastikan pembayaran subsidi disalurkan tepat pada masanya, sekali gus menyokong aliran tunai pesawah sepanjang musim penanaman. SSHP disalur selepas musim penanaman atau selepas jualan padi.

Pemodenan sektor melalui teknologi dan skala ekonomi
Usaha meningkatkan tahap sara diri beras tempatan turut diperkukuh melalui penglibatan BERNAS di dalam skim ladang berskala besar. Di bawah program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB), BERNAS merupakan satu-satunya syarikat korporat yang masih menjalankan agenda Kerajaan dengan memberi tumpuan kepada pendekatan pengurusan ladang bersepadu, penggunaan jentera moden serta analitik data bagi meningkatkan produktiviti.
Di bawah seliaan BERNAS, kawasan projek SMART SBB mencatatkan peningkatan purata hasil bersih padi sehingga 120 peratus pada tahun 2025. Sehingga Disember tahun yang sama, program tersebut melibatkan 49 projek dengan keluasan keseluruhan 2,451 hektar dengan penyertaan 898 pesawah di seluruh negara, termasuk pembangunan semula kawasan sawah terbiar bagi memperkukuh pendapatan pesawah dan kapasiti pengeluaran domestik.
Pelaburan dalam mekanisasi ladang turut dilaksanakan secara berperingkat melalui peruntukan sekitar RM40 juta bagi penggunaan teknologi pintar seperti dron pertanian, perata laser, jentuai padi mini dan traktor moden, bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada buruh serta meningkatkan kecekapan operasi.
Selain itu, projek rintis Rakan Tani Pintar AI yang memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan yang dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, BERNAS dan Global AI Village (GAIV) dilihat berpotensi membantu pesawah membuat keputusan penanaman secara lebih tepat melalui panduan masa nyata sepanjang kitaran tanaman.
Ketidaktentuan cuaca dan bencana alam kekal sebagai risiko utama kepada sektor pertanian. Bagi mengurangkan impak kerugian pesawah, peruntukan bantuan bencana sebanyak RM60 juta disalurkan secara berperingkat bagi tempoh 2021 hingga 2026.
Di samping itu, dana tambahan berjumlah RM90 juta turut disalurkan kepada Tabung Bencana Bantuan Khas Pesawah yang diurus oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebagai sokongan tambahan kepada usaha kerajaan membantu pesawah menghadapi cabaran perubahan cuaca dan kerugian tanaman.
Langkah perlindungan ini penting bagi memastikan pesawah mampu meneruskan aktiviti penanaman dan mengekalkan kestabilan pengeluaran domestik dalam jangka panjang.
Ekosistem yang saling melengkapi demi rakyat
Keterjaminan beras negara tidak bergantung kepada satu faktor sahaja, sebaliknya memerlukan keseimbangan antara pengeluaran tempatan, pengurusan stok, kepelbagaian sumber import dan perlindungan kebajikan pesawah.
Dalam kerangka ini, peranan setiap komponen ekosistem perlu dilihat sebagai saling melengkapi antara satu sama lain. Matlamat akhirnya kekal sama iaitu memastikan bekalan beras negara mencukupi, stabil dan mampu diperoleh rakyat pada harga yang berpatutan dalam apa jua keadaan ekonomi dan global. – UTUSAN










