SHAH ALAM: Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor akan membuka kaunter khas di empat lokasi termasuk di Sekinchan, Sabak Bernam bagi menyelesaikan isu permohonan permit pembelian diesel oleh pesawah sehingga 200 liter sehari.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, nelayan, pesawah dan petani boleh memohon pembelian diesel berkuota sehingga 200 liter sehari melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Untuk permohonan 200 liter, KPDN boleh pertimbang. Walaupun urusan minyak di bawah kementerian lain, misalnya ada IADA Barat Laut akan buka kaunter di empat lokasi bermula 19 Mei nanti terutama di kawasan Sekinchan.
“Permohonan permit boleh dibuat di situ dan semakan case by case akan dibuat oleh agensi berkenaan. Supaya yang betul-betul memerlukan (mendapat kemudahan tersebut),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Projek Pembangunan Nanas Secara Komuniti Parlimen Kota Raja bagi Pembangunan projek rintis Program Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (Pintar) di sini, hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 10,000 pesawah melibatkan hampir 19,000 hektar sawah padi di Kuala Selangor dan di sini terjejas dan berisiko mengalami kekurangan hasil akibat penguatkuasaan terhadap pembelian had 20 liter diesel.
Keadaan itu menyebabkan penuaian padi tertangguh sekurang-kurangnya seminggu sehingga meningkatkan risiko padi rosak akibat gugur dan reput kerana lewat dituai.
Bagaimanapun, KPDN dalam kenyataannya malam tadi memberitahu pihaknya akan menemui pesawah dan petani yang mengalami masalah tersebut menerusi Hari Bertemu Pelanggan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Mohamad menjelaskan, kawalan dan penguatkuasaan diperketatkan oleh KPDN susulan ketirisan bahan api itu yang membimbangkan dan mengejutkan ramai pihak.
“Diberikan kepada yang betul-betul memerlukan, bukan berlaku ketirisan. Yang juga KPDN dapat tangkap masalah ketirisan berlaku agak besar dan juga mengejutkan kita terutama dalam hal berkaitan penyalahgunaan diesel bersubsidi,” ujarnya.
Terdahulu, pada pelancaran Projek Pembangunan Nanas Secara Komuniti, peruntukan sebanyak RM500,000 diluluskan melalui Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB) bagi pembangunan ladang nanas berkelompok dengan pembekalan 392,000 sulur benih MD2 kepada 13 peserta untuk penanaman buah-buahan berkenaan di atas tanah berkeluasan kira-kira 10.4 hektar.
Menurutnya, perusahaan ladang tersebut yang bermula sejak Ogos dua tahun lalu dijangka memberi pulangan selepas kitaran tanaman ke tiga atau empat dengan jangkaan perolehan pendapatan kasar RM357,840 selain penjanaan pendapatan bulanan petani sehingga RM9,641 sebulan. – UTUSAN










