Kilang jalan aktiviti penyeludupan minyak hitam diserbu

Kilang jalan aktiviti penyeludupan minyak hitam diserbu

Penyeludupan minyak hitam
PASUKAN penguat kuasa melihat pemindahan minyak hitam ke dalam tong-tong dram selain tangki IBC dan pelbagai tangki lain dekat sebuah kilang yang diserbu di Jalan Klang - Banting, Jenjarom, di Kuala Langat, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Aktiviti penyeludupan minyak hitam di kawasan perindustrian Jalan Klang – Banting dekat Jenjarom, Kuala Langat terbongkar dan diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Jaffri Bidin berkata, serbuan dalam Operasi (Op) Landai itu dijalankan kira-kira 10.40 pagi selepas pasukannya terserempak dengan sebuah lori tangki dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, lori terbabit kemudian memasuki ke dalam sebuah premis yang didapati menjalankan aktiviti pemindahan minyak hitam pelbagai jenis dari lori tangki ke tangki pukal perantaraan (IBC).

“Hasil serbuan itu membawa kepada rampasan dua buah lori tangki, 36 tangki IBC yang dipenuhi minyak, empat skid tank, empat mesin pam minyak, lapan hos minyak, dua forklift serta sebanyak 76,800 liter minyak pelbagai jenis.

”Polis turut menahan dua lelaki yang bekerja di premis berkenaan serta seorang lelaki yang merupakan pemandu lori. Kesemua mereka berusia antara 34 hingga 44 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM671,900 dan kes disiasat di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam perkembangan sama, pihak Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) turut menyita premis berkenaan manakala lima sampel minyak pelbagai jenis dihantar ke Jabatan Alam Sekitar untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,350 terhadap pemandu lori terbabit melibatkan sembilan kesalahan.

Tambah Jaffri, masyarakat dinasihatkan agar terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan ketirisan barang kawalan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN