SABAK BERNAM: Kira-kira 10,000 pesawah melibatkan hampir 19,000 hektar sawah padi di Kuala Selangor dan di sini terjejas dan berisiko mengalami kekurangan hasil akibat penguatkuasaan terhadap pembelian had 20 liter diesel.
Masalah yang berlarutan sejak tahun lalu dan pengeluaran permit atas dasar kawalan ketirisan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 200 jentera tuai padi tidak dapat bekerja mengikut jadual susulan kekangan sumber bahan api yang diperlukan lebih 200 liter sehari.
Keadaan itu menyebabkan penuaian padi tertangguh sekurang-kurangnya seminggu sehingga meningkatkan risiko padi rosak akibat gugur dan reput kerana lewat dituai.
Seorang pemilik jentera, Murshid Ahmad, 51 dari Kampung Pasir Panjang berkata, dia tidak dapat memenuhi permintaan penuaian padi oleh pesawah-pesawah secara berjadual berikutan masalah tersebut.
“Sebelum ini kita tiada masalah untuk membeli diesel pada kadar 200 liter sehari untuk menuai padi. Dengan jumlah diesel sedemikian, kita boleh tuai lebih 8.5 hektar atau sekurang-kurangnya tujuh lot bendang.
“Sejak tiga tahun lalu, diburukkan lagi dengan masalah perang di Iran, kita tak boleh beli terus 200 liter. Hanya boleh beli pada kadar yang dibenarkan secara umum iaitu 20 liter pada setiap pembelian.
“Jadi, lebih 10 kali kita kena ulang-alik bawa tong kecil pergi stesen minyak dan beli diesel. Itu yang menyebabkan penuaian padi lambat semua kawasan dari Kampung Sawah Sempadan di Tanjong Karang sampai ke Sungai Besar,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Malah, jelasnya sekiranya hendak membeli sehingga 200 liter diesel, kena dapatkan permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang didakwa membebankan akibat kerenah birokrasi.
“Sudah mohon secara dalam talian, tetapi ditolak atas alasan yang tidak dinyatakan. Walhal semua dokumen yang diminta termasuklah geran jentera, geran tanah pemilik sawah pun diminta. Tetap juga ditolak.
“Akhirnya kami tetap juga membeli diesel, kadang-kadang kita beli secara senyap-senyap pada awal pagi supaya tidak ditangkap oleh penguat kuasa KPDN. Ada jugalah kawan-kawan yang pernah kena tangkap, denda sampai RM50,000, langsung tak berbaloi. Kita hendak tuai padi untuk bekalan beras dan makanan rakyat, tetapi kena tangkap sebab beli diesel lebih kuota dibenarkan,” tegasnya.
Sementara itu, seorang pesawah, Solbani Abd. Karim, 60, mendakwa tidak pernah berdepan situasi sedemikian apabila pemilik jentera memaklumkan kena tunjukkan geran tanah untuk membeli diesel bagi menuai padi.
“Sudahlah hasil padi kini menurun. Bila lewat tuai, pesawah boleh hilang sehingga sehingga lima tan metrik hasil padi. Kemudian kawan pemandu jentera cakap lewat sebab susah hendak beli diesel.
“Malah mereka kata kena tunjuk geran tanah sebagai bukti pemilik sawah. Peliknya, sedangkan kita ada Persatuan Peladang Kawasan (PPK). Tetapi, PPK sendiri pun tak dapat membantu. KPDN tegah beli 200 liter diesel, kami tak dapat tuai padi,” ujarnya.
Bagaimanapun tambahnya, dia memohon supaya pihak berkuasa berlaku adil dan memudahkan pembelian diesel untuk menggerakkan jentera bagi menuai padi. – UTUSAN










