KLANG: Seorang penunggang motosikal bertarung nyawa selepas dirempuh seorang pemandu mabuk yang memandu di laluan bertentangan dekat Persiaran Kota, di sini, tengah malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 20-an diaktakan dalam perjalanan dari arah Pelabuhan Klang menghala ke Shah Alam sebelum dirempuh sebuah kereta Perodua Bezza yang memandu secara songsang sejauh kira-kira 3.5 kilometer (km).
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, akibat rempuhan tersebut, penunggang motosikal berkenaan mengalami kecederaan parah pada anggota badan serta kaki kanan.
“Mangsa menerima rawatan kritikal di Zon Merah, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Manakala pemandu motokar pula hanya mengalami luka ringan.
”Hasil ujian saringan awal mendapati pemandu kereta terbabit positif alkohol. Suspek ditahan serta-merta untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, suspek kemudian dibenarkan ditahan reman oleh Mahkamah Majistret sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
”Iaitu memandu di bawah pengaruh minuman memabukkan atau dadah sehingga menyebabkan kecederaan. Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan penjara tujuh hingga 10 tahun dan denda RM30,000.00 hingga RM50,000.00, selain penggantungan lesen memandu.
“Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.
Kata Jit Huey lagi, polis ingin menegaskan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah adalah kesalahan serius yang menggugat keselamatan awam.
”Semua pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang, memandu secara berhemah, dan tidak mementingkan diri sendiri bagi mengelakkan tragedi yang tidak diingini,” tegasnya. – UTUSAN










