SHAH ALAM: Lebih 300 organisasi bukan kerajaan (NGO) termasuk berkaitan Islam (NGi) berikrar menggegar Himpunan Taat Setia yang akan dianjurkan oleh Dewan Pemuda Pas Selangor pada Sabtu ini di hadapan pintu masuk utama Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini.
Sekurang-kurangnya 1,000 dijangka berhimpun di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) itu mencetuskan ‘lautan kuning’ bagi menyatakan solidariti dan terhadap kedaulatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd. Zai Mustafa berkata, penyertaan NGO-NGOI itu menterjemah kesetiaan mutlak kepada titah Sultan Selangor serta menegaskan kepentingan mempertahankan agama Islam, hak Melayu dan kedaulatan institusi diraja.
“Kami Sekretariat Himpunan Daulat Tuanku bersama gabungan NGO dengan ini mengisytihar penganjuran himpunan mega pada Sabtu ini pukul 5 petang dengan memakai pakaian berwarna kuning.
“Satu mesej taat setia rakyat akan ditunjukkan di hadapan bangunan SUK pada hari tersebut. Kami akan berhubung dan membuat pemakluman rasmi kepada polis Selangor, selaras dengan hak kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Sidang akhbar tersebut dihadiri oleh wakil lebih 30 NGO selain Ummah dn Perkasa seperti Gabungan NGO Selangor, Pertubuhan Geng Ustaz, Pertubuhan ICare, Pertubuhan Anggerik Care, Sekretariat Perunding NGO Selangor, Majlis Pemikir Melayu, Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), Pertubuhan Rumah Melayu dan sebagainya.
Tambahnya, beliau turut menyeru seluruh pimpinan organisasi berkaitan Islam dan Melayu, komuniti serta parti-parti politik yang mendukung institusi diraja supaya hadir bersama menyatakan solidariti.
Terdahulu, Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar memberitahu akan mengadakan perhimpunan pada Sabtu ini susulan krisis pertikaian terhadap titah Sultan Selangor oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki berhubung larangan pembinaan ladang babi di negeri ini.
Menurutnya, himpunan tersebut dijangka disertai lebih 500 peserta termasuk dari beberapa parti politik seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Sementara itu, aktivis Melayu, Syed Hassan Syed Ali yang merupakan bekas Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menegaskan, penyertaan dalam Himpunan Taat Setia itu juga untuk menyuarakan kekecewaan terhadap sikap wakil rakyat melampaui batas garisan politik.
Katanya, pertikaian terhadap titah dilakukan seolah-olah cuba mengingatkan tentang tragedi 13 Mei dan mengarahkan supaya peristiwa itu berlaku lagi.
“Sejak pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mereka bukan lagi mencabar kepentingan Melayu, malah titah sultan pun mereka cabar. Mereka sekarang biadab menghasut orang ramai supaya heret titah baginda ke mahkamah pula untuk di cabar. Betul-betul biadap.
“Jangan cabar lagi, DAP. Kita ingat bidang perumahan tiru Singapura, macam-macam tiru Singapura, ambil mereka punya pakar. Tetapi isu ladang babi kenapa tidak pandang ke Singapura? Majoriti penduduk di sana bukan Islam, ramai makan babi, tetapi tak pernah ada ladang babi di sana. Boleh import, kenapa di Selangor tak mahu import?,” tegasnya. – UTUSAN









