SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor akan mengadakan sesi libat urus bersama pesawah dan petani di Sabak Bernam dan Kuala Selangor bagi menyelesaikan isu permit pembelian diesel.
Pertemuan itu akan diadakan dalam masa terdekat menerusi Hari Bertemu Pelanggan yang akan dianjurkan oleh kementerian tersebut bagi memastikan golongan itu di negeri ini mendapatkan perkhidmatan secara langsung.
Menurut kenyataannya, sebelum ini satu permit khas sudah pun dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan dan Timbalan Pengawal Bekalan bagi membantu golongan petani dan pesawah mendapatkan bekalan bahan api berterusan di bawah kategori pertanian dan penternakan.
“Bagi kategori pertanian dan penternakan, pesawah atau petani yang layak boleh memohon permit khas untuk membeli bahan api di stesen minyak terpilih selain tangki asal kenderaan bagi menggerakkan perkakas, jentera atau peralatan bagi aktiviti pertanian atau penternakan.
“Pembelian bahan api itu hendaklah bukan untuk tujuan jualan semula. Jumlah had kuantiti kelayakan diberikan adalah tidak melebihi 200 liter sehari pembelian,” katanya, malam tadi.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 10,000 pesawah melibatkan hampir 19,000 hektar sawah padi di Kuala Selangor dan di sini terjejas dan berisiko mengalami kekurangan hasil akibat penguatkuasaan terhadap pembelian had 20 liter diesel.
Masalah yang berlarutan sejak tahun lalu dan pengeluaran permit atas dasar kawalan ketirisan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 200 jentera tuai padi tidak dapat bekerja mengikut jadual susulan kekangan sumber bahan api yang diperlukan lebih 200 liter sehari.
Keadaan itu menyebabkan penuaian padi tertangguh sekurang-kurangnya seminggu sehingga meningkatkan risiko padi rosak akibat gugur dan reput kerana lewat dituai.
Jelas KPDN Selangor, bagaimanapun bagi pemohon yang berhasrat memohon permit khas pembelian lebih 200 liter dalam sehari pembelian juga boleh dipertimbangkan sekiranya memenuhi syarat-syarat ditetapkan.
“Tempoh proses pengeluaran permit bagi permohonan baharu adalah lima hari bekerja bermula dari tarikh permohonan disahkan lengkap, tempoh sah permit pula tidak melebihi 12 bulan dari tarikh dikeluarkan.
“Permohonan permit khas boleh dibuat melalui portal permohonan permit KPDN iaitu https://spb.kpdn.gov.my/login. Untuk sebarang pertanyaan pemohon boleh mengemukakan e-mel kepada [email protected],” ujarnya. – UTUSAN










