SHAH ALAM: Kerajaan dan agensi khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa menyemak semula kaedah tawaran projek-projek kecil kepada kontraktor supaya syarikat-syarikat baharu boleh mendapatkan perolehan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Muhammad Izwan Ahmad Kasim berkata, antara kaedah yang digunakan ketika ini adalah secara konsesi dengan menyenaraikan sejumlah kontraktor bagi tawaran kerja-kerja.
“Sebab kalau kita tengok ada beberapa PBT, merkea membuat konsesi, maksudnya mereka kumpulkan 30 hingga 40 syarikat bagi kerja-kerja kecil, kemudian mereka buat penggiliran antara kalangan itu sahaja dalam tempoh tiga hingga empat tahun. Jadi tidak ada peluang kepada syarikat lain.
“Walaupun menggunakan teknologi (komputer), tak ada peluang baharu. Kalau ikutkan cara, memang begitulah, tetapi lebih baik ia dibuka, kita ada teknologi yang juga boleh elak keciciran dokumen,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (Perkobf) Selangor di sini, hari ini.
Tambahnya yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihan Infragro, keadaan itu juga menyebabkan sistem bole dimanipulasi oleh sebuah syarikat yang meletakkan lebih dari satu syarikat lain kawalannya untuk mengawal median harga serta cut-off.
“Kita akui perkara (konsesi) itu berlaku, apabila ada konsesi isu cut-off harga terlalu tinggi sehinggakan kontraktor lain terpaksa kurangkan margin keuntungan sehingga kerja yang dilakukan tidak berkualiti.
“Situasi tersebut mencetuskan kartel yang mempengaruhi median harga tawaran kerja-kerja kerana satu syarikat yang mengawal lebih 30 syarikat lain menawarkan harga yang rendah tak munasabah, graf itu akan turut bergerak sekali,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden Perkobf, Tukiman Radion menyatakan, kewujudan konsesi menyebabkan kontraktor-kontraktor kecil seperti Kelas F mendapat margin keuntungan yang rendah selepas mereka mengambil labanya lebih awal sekitar 20 hingga 30 peratus.
“Sebagai contoh, konsesi dapat RM50 juta dan diagihkan kepada kontraktor-kontraktor kecil, kaedahnya mereka sudah ambil dahulu 20 hingga 30 peratus, selebihnya baru berikan kepada pelaksana projek, itu masalahnya.
Jadi, maknanya margin keuntungan itu sudah kurang. Macam mana kita hendak hidup yang dapat hanya ‘tulang-tulang’ sahaja, ‘isi-isi’ dan ‘daging-daging’ semuanya syarikat-syarikat dalam konsesi sudah ambil,” ujarnya. – UTUSAN










