Hasil padi semakin menurun, pesawah kian dibelenggu masalah

Hasil padi semakin menurun, pesawah kian dibelenggu masalah

SEORANG pesawah meninjau kawasan sawah di Kampung Jejawi, Arau, Perlis baru-baru ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Hasil padi yang semakin menurun sehingga sekitar 4.2 tan metrik perhektar ketika ini menjadi antara punca pesawah di Malaysia terus dibelenggu masalah.

Hasil masih ditakuk lama berbanding negara-negara lain seperti Thailand dan Vietnam sekitar tujuh tan metrik serta Indonesia mencecah lapan tan metrik itu menyebabkan pesawah terus dihimpit kesusahan dan berdepan masalah berulang meskipun menikmati pelbagai subsidi serta belian padi yang tinggi sehingga RM1,500.

Harga lantai belian padi RM1,500 per tan metrik yang termasuk subsidi sehingga mencecah RM2,000 adalah lebih tinggi berbanding negara Asia lain khususnya Thailand dan Vietnam meskipun kedua-kedua negara tersebut merupakan pengeksport besar selain teknologi industri padi mereka lebih maju.

Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berkata, jika sebelum ini, pesawah sekadar berpuas hati dengan hasil sekitar lima ke enam tan metrik namun kini ia semakin menurun kepada 4.2 tan.

MARZUKHI OTHMAN

Katanya, pesawah akan mendapat lebih keuntungan atau menikmati kehidupan lebih selesa sekiranya mendapat hasil padi yang tinggi bukan disebabkan masalah harga belian padi.

Ujarnya, harga belian padi setinggi mana sekali pun, sekiranya hasil masih rendah ia tidak dapat membantu pesawah dan tidak hairanlah setiap tahun masalah sama sahaja berulang.

“Melihat kepada situasi sekarang, hasrat ke arah penanaman padi lima kali dua tahun juga sudah boleh dilupakan. Jika pesawah mampu menghasilkan lapan tan metrik perhektar dengan keluasan tanaman padi yang ada di negara ini, kita tidak akan berdepan masalah lagi.

“Ketika ini, Malaysia hanya menghasilkan 1.6 juta metrik hasil padi setahun yang masih jauh ketinggalan berbanding negara lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Marzukhi berkata, masalah hasil rendah tersebut antara lain turut berpunca daripada isu infrastruktur khususnya saliran yang masih jauh ketinggalan serta aspek pengurusan bendang dalam kalangan pesawah sendiri.

Selain itu, katanya, dalam soal penyelidikan dan pembangunan (R&D) varieti benih padi juga masih ditakuk lama dan tidak berkualiti yang tidak membantu kepada peningkatan hasil.

Malah katanya, masih ada benih yang sejak 25 tahun dahulu juga masih digunakan.

“R&D varieti benih padi baharu yang berkualiti bagi membantu peningkatan hasil itu perlu sentiasa dipertingkatkan,” katanya.

Sementara itu, Marzukhi juga melihat subsidi input seperti baja, benih, racun, pembajakan dan sebagainya perlu ditarik dan digantikan dengan subsidi berbentuk output seperti harga padi atau peningkatan hasil yang mampu menjadi pendorong kepada pesawah meningkatkan hasil.

Katanya, pesawah mengeluarkan hasil yang banyak akan menikmati subsidi lebih tinggi.

“Apabila subsidi diberikan berdasarkan kuantiti penghasilan padi itu, baru akan ada usaha pesawah untuk terus meningkatkan hasil. Hasil padi banyak, dapat untung banyak dan itu yang sememangnya diharapkan oleh para pesawah. Subsidi input seperti baja, benih dan racun itu dilihat sudah tidak efisien, kadang-kala ada yang disalah guna dengan dijual semula,” katanya.

Dalam pada itu, Marzukhi turut mencadangkan agar diwujudkan institut padi bagi melatih pegawai-pegawai berkaitan padi ini.

“Pegawai-pegawai berkaitan pertanian ini juga perlu lebih dinamik dan sentiasa rajin turun padang bersama pesawah bukan sekadar berada di pejabat seterusnya mengenai pasti segala permasalahan di bendang. Industri padi dan beras ini sangat penting dan ia berkait rapat dengan isu keselamatan makanan yang perlu diberi lebih keutamaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Dibuk Sdn. Bhd., Ezreen Muhaizi Marzukhi pula berkata, pada masa ini, sememangnya diakui kos pesawah meningkat yang antara lain berpunca daripada kenaikan upah jentera susulan harga diesel tidak menentu.

Katanya, cadangan fleetcard antaranya dilihat berasas meskipun jentera pertanian difahamkan tidak layak untuk mohon kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana penggunaannya bermusim.

“Jadi kita cadangkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengusahakan satu mekanisme agihan diesel bersubsidi mengikut data keluasan sawah setiap petani. Pesawah sendiri yang agihkan diesel tersebut kepada pengusaha jentera yang mereka lantik untuk tujuan kerja-kerja di ladang.

“Ia dengan syarat upah jentera tidak naik supaya kos bersawah kekal rendah dan pesawah boleh untung apabila jual padi. Berapa liter diesel perhektar, itu kerajaan kaji dan putuskan iaitu sama seperti konsep Budi Madani untuk RON95. Habis kuota, habis untuk musim itu dan jika krisis minyak ini masih berlarutan, pesawah mohon sekali lagi apabila masuk musim penanaman baru,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, meskipun harga belian padi di Malaysia antara yang tertinggi di Asia Tenggara namun pesawah di negara ini masih hidup tertekan.

MOHD. SHAZWAN SUBAN

Katanya, Ia bukan disebabkan faktor harga belian padi semata-mata sebaliknya berpunca daripada keseluruhan rantaian ekonomi sektor itu yang lebih banyak menguntungkan orang tengah, pembekal input dan sistem monopoli.

Beliau berkata, jika harga padi naik sekali pun namun kos tetap meningkat berkali ganda yang akhirnya menyebabkan untung bersih pesawah kecil.

“Pesawah kerja paling berat, tetapi margin terbesar dinikmati pemain tengah dalam rantaian industri berkenaan. Antara lain, majoriti pesawah juga bukan tuan tanah dengan ramai hanya menyewa tanah mengusahakan sawah itu.

“Hasil jual padi itu perlu bahagi dengan tuan tanah, bayar hutang input dan kos operasi yang akhirnya tinggal baki sangat sedikit untuk sara hidup para pesawah yang menyewa itu. Selain itu, saiz sawah terlalu kecil dengan kebanyakkan pesawah hanya mengusahakan sekitar satu hingga tiga hektar sahaja.

“Dengan keluasan kecil itu, hasil tidak cukup untuk menjadi pendapatan bulanan yang stabil. Lebih malang, apabila musim padi rosak atau banjir, terus lumpuh.

“Pesawah juga berdepan hutang dari musim ke musim dengan ramai terpaksa berhutang untuk input sebelum menanam. Bila hasil dituai, duit terus habis bayar hutang kedai, pembekal atau pinjaman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN