TERDAPAT laporan menjelaskan bahawa hampir 90 peratus pesawah belum memulakan penanaman padi akibat kekurangan air. Gangguan pada peringkat awal penanaman ini membawa implikasi besar terhadap sekuriti makanan negara yang menyentuh sekurang-kurangnya dua dimensi utama: Ketersediaan dan kestabilan.
Kelewatan penanaman akan mengurangkan jumlah pengeluaran tahunan, sekali gus memberi tekanan kepada tahap sara diri tanaman ini sebagaimana yang disasarkan.
Jika pengeluaran domestik terus merosot, Malaysia akan semakin bergantung kepada pasaran antarabangsa yang juga tidak stabil, terutama dalam era ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim global.

Secara tradisinya, pesawah bergantung kepada kitaran monsun untuk menentukan jadual penanaman.
Namun, perubahan iklim global telah mengganggu pola ini di mana tempoh hujan yang semakin singkat, serta taburan hujan yang tidak sekata menyebabkan takungan air di empangan dan saliran pertanian tidak mencukupi mengakibatkan kawasan sawah kering pada waktu kritikal, sekali gus memaksa pesawah menangguhkan penanaman dan akhirnya mengganggu keseluruhan kitaran tanaman, termasuk masa pembajaan, kawalan perosak dan akhirnya hasil tuaian.
Dari sudut sosioekonomi, kelewatan penanaman bermakna pesawah akan kehilangan pendapatan, sedangkan kos operasi seperti sewa tanah dan input pertanian terus meningkat.
Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menjerumuskan pesawah ke dalam kitaran hutang dan menjejaskan kelangsungan hidup mereka.
Realitinya, sebahagian besar pesawah di negara ini tergolong dalam kumpulan rentan yang bergantung kepada bantuan kerajaan untuk kelangsungan hidup.
Bantuan seperti subsidi baja, insentif pengeluaran dan bantuan tunai sememangnya membantu mengurangkan beban kos pengeluaran, namun ia juga mencerminkan bahawa sektor ini belum mencapai tahap daya tahan ekonomi yang kukuh.
Ketergantungan kepada bantuan ini menunjukkan bahawa margin keuntungan pesawah adalah kecil dan tidak stabil, sekali gus menjadikan mereka mudah terdedah kepada sebarang gangguan seperti kelewatan musim atau kenaikan kos input.
Pendapatan pesawah yang bersifat bermusim turut menambah kerentanan mereka.
Pendapatan hanya diperoleh selepas musim menuai, berbanding perbelanjaan harian perlu ditanggung setiap hari memaksa ramai pesawah untuk membuat pinjaman, sama ada daripada institusi kewangan yang sah mahupun orang tengah.
Pinjaman ini sering datang dengan syarat yang membebankan, termasuk kadar faedah tinggi atau perjanjian tidak formal yang mengikat pesawah kepada pihak tertentu. Akibatnya, pesawah terperangkap dalam kitaran hutang yang sukar diputuskan.
Kebergantungan kepada orang tengah di sepanjang rantaian pengeluaran makanan terutama dalam perkhidmatan mekanisasi masih sukar diatasi.
Walaupun mekanisasi adalah satu keperluan dalam meningkatkan produktiviti, hakikatnya pesawah tidak memiliki akses kepada aset sendiri menyebabkan mereka bergantung sepenuhnya kepada pihak ketiga.
Keadaan ini memberi ruang kepada orang tengah untuk mengawal harga perkhidmatan dan jadual kerja, yang kadangkala tidak selaras dengan keperluan agronomi tanaman padi. Akibatnya, kecekapan pengeluaran terjejas dan mengakibatkan kos meningkat.
Satu lagi isu kritikal yang sering terlepas pandang ialah kekurangan aset manusia dalam kalangan pesawah. Rata-rata petani padi masih lagi mempunyai tahap pendidikan dan kemahiran yang terhad, khususnya dalam aspek teknologi pertanian moden, pengurusan kewangan dan inovasi.
Kekurangan latihan dan pendedahan ini menyebabkan mereka terus bergantung kepada kaedah tradisional dan kurang berupaya untuk mempelbagaikan sumber pendapatan.
Dalam jangka panjang, keadaan ini mengukuhkan lagi kebergantungan mereka kepada sektor padi walaupun pulangannya tidak menentu.
Dapatan kajian yang dijalankan oleh penulis turut mengukuhkan gambaran ini, di mana majoriti pesawah didapati mempunyai tahap simpanan yang sangat rendah.
Simpanan yang ada bersifat sementara dan kebanyakannya diperuntukkan sebagai modal pusingan untuk musim penanaman seterusnya. Ini bermakna pesawah tidak mempunyai jaringan keselamatan kewangan yang mencukupi untuk menghadapi kecemasan atau kegagalan tanaman.
Apabila berlaku gangguan seperti kekurangan air, mereka bukan sahaja kehilangan pendapatan, malah berisiko kehilangan modal untuk musim berikutnya.
Dalam konteks ini, isu kelewatan penanaman akibat kekurangan air perlu dilihat sebagai wake-up call kepada semua pihak berkepentingan.
Walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk intervensi namun ia tidak dapat menyelesaikan punca masalah utama dalam tanaman ini. Justeru, pendekatan yang lebih holistik dan bersepadu perlu dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan sektor padi dan kestabilan bekalan beras negara.
Langkah segera yang perlu diambil adalah memastikan bekalan air mencukupi melalui pengurusan sumber air yang lebih efisien. Penilaian semula terhadap keberkesanan projek pengairan sedia ada perlu dilakukan bagi memastikan sumber air sampai ke petak-petak sawah.
Polisi berkaitan penggunaan air juga perlu diteliti semula. Persaingan penggunaan air di antara sektor domestik, industri, dan pertanian menyebabkan sektor pertanian sering menjadi pihak yang terjejas.
Pada masa yang sama, bantuan kecemasan kepada pesawah yang terjejas boleh dipertimbangkan bagi mengelakkan mereka terjerumus ke dalam krisis kewangan yang lebih parah.
Insentif khas juga boleh diberikan untuk menggalakkan penanaman alternatif jangka pendek sekiranya musim padi terpaksa ditangguhkan.
Pada masa yang sama, fokus perlu diberikan kepada peningkatan kecekapan pengeluaran dan pengurangan kebergantungan kepada orang tengah. Ini boleh dicapai melalui penyediaan skim pembiayaan mudah bagi pembelian jentera pertanian secara koperasi atau kelompok.
Di samping itu, program latihan intensif perlu diperluaskan bagi meningkatkan kemahiran pesawah dalam penggunaan teknologi moden, pengurusan ladang dan perancangan kewangan.
Digitalisasi sektor pertanian seperti penggunaan aplikasi untuk jadual penanaman dan pemantauan cuaca juga boleh membantu meningkatkan kecekapan.
Bagi jangka panjang, transformasi struktur sektor padi adalah amat penting. Ini termasuk pembangunan infrastruktur pengairan yang lebih moden dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim seperti sistem pengairan pintar dan tadahan air berskala besar.
Usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan daya tarikan sektor ini kepada generasi muda melalui mekanisasi, automasi dan integrasi teknologi digital.
Diversifikasi sumber pendapatan pesawah juga perlu digalakkan, contohnya melalui aktiviti hiliran seperti pemprosesan produk padi atau agro-pelancongan.
Dasar harga dan pasaran perlu diteliti semula bagi memastikan pesawah mendapat pulangan yang adil. Ketelusan dalam rantaian bekalan, termasuk dalam proses penentuan harga dan potongan di peringkat kilang, perlu diperkukuhkan bagi mengurangkan eksploitasi.
Pengukuhan institusi kerajaan di akar umbi boleh menjadi platform untuk meningkatkan kuasa tawar-menawar mereka.
Kegagalan pesawah memulakan penanaman bukanlah sekadar masalah sementara, tetapi manifestasi kepada kelemahan struktur dalam sektor padi negara.
Jika tiada tindakan menyeluruh diambil, kesannya bukan sahaja dirasai oleh pesawah, tetapi juga oleh seluruh rakyat melalui peningkatan harga beras dan ketidaktentuan bekalan makanan. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Ahmad Zubir Ibrahim ialah Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa), Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).










