RIO DE JANEIRO: Era Neymar bersama Brazil akhirnya berakhir apabila Carlo Ancelotti mengesahkan penyerang Santos itu tidak lagi berhasrat menyarung jersi Selecao di pentas antarabangsa.
Pengendali dari Itali itu berkata, keputusan tersebut dibuat sendiri oleh Neymar, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depan bintang berusia 34 tahun itu bersama pasukan kebangsaan negaranya selepas Piala Dunia 2026.
Neymar, yang menjadi tonggak Brazil selama lebih sedekad, dianggap antara pemain paling berpengaruh dalam sejarah moden Selecao, namun perjalanan antarabangsanya turut diselubungi pelbagai kontroversi serta kegagalan memenuhi harapan besar peminat negara berkenaan.
Ancelotti mengakui kehilangan Neymar merupakan tamparan besar buat Brazil kerana tiada pemain lain yang mampu menggantikan keunikan bakat dimiliki penyerang tersebut.
“Neymar memang layak berada di sini atas kualiti yang dimilikinya. Namun Neymar sendiri sudah mengesahkan bahawa beliau tidak mahu kembali ke skuad kebangsaan.
“Neymar tidak boleh diganti kerana beliau adalah bakat yang luar biasa dan unik. Jadi, beliau seorang pemain yang tiada galang gantinya,” katanya.
Bagaimanapun, pengakhiran era Neymar membuka ruang kepada Ancelotti dan pengarah skuad kebangsaan, Rodrigo Caetano untuk melaksanakan rombakan besar-besaran bagi membentuk pasukan Brazil yang lebih muda dan kompetitif dalam menghadapi kitaran seterusnya menuju Piala Dunia 2030.
Pendekatan itu sudah mula diterjemahkan menerusi senarai panggilan terkini apabila beberapa pemain berpengalaman diketepikan bagi memberi peluang kepada prospek muda, termasuk pemain yang menyerlah dalam saingan liga tempatan.
Ancelotti mahu proses pembaharuan itu dilaksanakan secara berperingkat dengan memberi tumpuan kepada pemain kelahiran 2004, 2005 dan 2006 selain tidak menolak kemungkinan membawa masuk beberapa bakat yang lebih muda. – AGENSI/UTUSAN










