NEWARK: Jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti menegaskan Neymar perlu bersaing dengan Vinicius Junior dan Raphinha untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama sekiranya penyerang berpengalaman itu kembali cergas menjelang kempen Piala Dunia 2026.
Neymar yang kini berusia 34 tahun terlepas aksi persahabatan Brazil menentang Panama di Stadium Maracana, Ahad lalu akibat kecederaan otot betis kanan namun tetap disenaraikan dalam skuad 26 pemain Brazil ke kejohanan tersebut.
Menurut Ancelotti, Neymar akan digunakan di posisi tengah sama ada sebagai penyerang atau pemain tengah menyerang dan bukannya di bahagian sayap.
“Neymar perlu bermain di posisi terbaiknya. Dia tidak akan bermain di sayap, sebaliknya di bahagian tengah sebagai penyerang atau pemain tengah menyerang.
“Itulah posisi yang dimainkan oleh Vinicius dan Raphinha ketika menentang Panama,” kata Ancelotti.
Neymar merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil dengan 79 gol, namun masalah kecederaan menyebabkan dia jarang beraksi bersama skuad kebangsaan sejak mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada Oktober 2023.
Walaupun dihimpit kecederaan, bekas bintang Barcelona itu masih dianggap sebagai aset penting Brazil yang memburu kejuaraan dunia.
Mengulas mengenai peranan pemain tengah, Lucas Paqueta, Ancelotti memilih untuk tidak mendedahkan perancangannya secara terperinci.
“Saya mahu menyimpan sedikit rahsia sehingga Piala Dunia bermula. Jika tidak, kita akan kehabisan topik untuk dibincangkan.
“Malah, saya rasa kita juga sudah kehabisan perkara untuk diperkatakan mengenai Neymar,” katanya berseloroh.
Brazil tiba di saingan Piala Dunia kali ini dengan status yang tidak lagi menakutkan seperti edisi-edisi terdahulu, susulan prestasi tidak konsisten dalam tempoh kebelakangan ini.
Skuad Samba itu menamatkan kempen kelayakan zon Amerika Selatan di tangga kelima selain mencatat beberapa kekalahan mengejut termasuk kepada Perancis, Jepun dan Bolivia sepanjang tahun lalu.
Bagaimanapun, Ancelotti menegaskan Brazil masih mampu menjadi pencabar utama dalam Piala Dunia kali ini.
“Kami mahu bersaing dengan pihak lawan, cuba memberikan yang terbaik, bekerja keras, semua orang tahu apa jangkaan terhadap Brazil,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










