RIO DE JANEIRO: Bintang Brazil, Neymar, sekali lagi diketepikan daripada skuad kebangsaan menjelang dua aksi terakhir kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Chile dan Bolivia minggu depan.
Pengendali Brazil, Carlo Ancelotti mengumumkan senarai 23 pemain, semalam, tanpa nama penyerang Santos itu dengan sebab kecederaan otot kaki.
Brazil bagaimanapun sudah mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026 yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Kali terakhir Neymar menyarung jersi Brazil adalah pada Oktober 2023, sebelum dibelenggu kecederaan ligamen lutut serius yang menjejaskan kemunculan semulanya.
“Dua perlawanan ini sangat mencabar, jadi kami perlukan pemain dalam kondisi terbaik.
“Kita semua tahu kemampuan Neymar, jadi penting dia kembali pada tahap 100% supaya dapat membantu pasukan di Piala Dunia nanti,” kata Ancelotti.
Pemain berusia 33 tahun itu, kembali ke Santos dari kelab Arab Saudi tahun ini dan sudah menjaringkan enam gol dalam 19 perlawanan. – AGENSI/UTUSAN










