PH atau PN, siapa rakan BN di Melaka?

PH atau PN, siapa rakan BN di Melaka?

MELAKA menjadi ujian kepada formula Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kuasa dan menambah kerusi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 PAKATAN Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN)? Persoalan siapa bakal menjadi rakan kerjasama Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka belum terjawab, sedangkan masa semakin suntuk. 

 Kini, hanya menunggu hari sebelum Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dijangka melabuhkan tirai Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

 Ab. Rauf sendiri memberi bayangan pembubaran DUN akan dibuat dalam tempoh terdekat, malah menegaskan rundingan dengan mana-mana parti yang berminat hanya akan dibuat selepas pembubaran. 

 Pada masa sama, pendirian BN sudah terang iaitu parti ini mahu mempertahankan 21 kerusi yang dimenangi pada PRN 2021 bukan bahan tawar-menawar. 

Justeru, teka-teki sebenar bukan lagi sama ada BN akan mempertahankan 21 kerusi itu tetapi siapa yang akan membantu BN menguasai baki tujuh kerusi dan sejauh mana formula tersebut boleh menghasilkan kemenangan lebih besar.

Angka 21 itu sendiri cukup kuat. BN memenangi 21 daripada 28 kerusi pada PRN lalu, berbanding lima milik PH dan dua PN. 

Namun, tujuh kerusi di luar penguasaan BN itulah yang boleh menjadi penentu kepada cita-cita lebih besar untuk bukan sahaja membentuk kerajaan negeri, tetapi mencipta kemenangan hampir mutlak.

Lima kerusi kini dikuasai PH iaitu Bukit Katil, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir, manakala dua lagi, Bemban dan Sungai Udang, berada di tangan PN. 

Menariknya, tujuh kerusi ini tidak mempunyai profil pengundi yang seragam. Empat daripadanya iaitu Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir mempunyai jumlah pengundi Cina yang besar, malah Kota Laksamana dan Bandar Hilir mencatat bahagian pengundi Cina sekitar 69 peratus berdasarkan data pilihan raya terdahulu. Ayer Keroh pula sekitar 36 peratus, manakala Kesidang sekitar 46 peratus.

Bukit Katil, Bemban dan Sungai Udang pula lebih bercampur dengan asas pengundi Melayu yang lebih besar. Ini menjadikan tujuh kerusi berkenaan bukan sekadar soal pembahagian kawasan tetapi menyentuh persoalan siapa lebih berupaya menembusi kelompok pengundi berbeza.

 

KERUSI MAJORITI CINA 

Di sinilah kepentingan rakan kerjasama BN. Jika BN memilih PH, khususnya DAP dan PKR, formula itu berpotensi memberikan kestabilan di kerusi-kerusi bandar dan majoriti Cina. 

PH mempunyai kelebihan dari segi rekod kemenangan serta rangkaian sokongan di empat kerusi berkenaan. Dalam keadaan pertandingan tiga penjuru dapat dielakkan, kedua-dua blok boleh mengurangkan risiko pertembungan undi yang hanya menguntungkan lawan.

Namun, harga politiknya juga tinggi. BN mungkin berjaya mengukuhkan kerajaan dengan PH, tetapi impian untuk menyapu bersih 28 kerusi akan menjadi lebih sukar sekiranya tujuh kerusi itu terus dianggap sebagai kawasan tradisi rakan kerjasama. 

Ini kerana, formula kerjasama lazimnya membawa bersama tuntutan untuk mengekalkan kerusi yang sudah dimenangi.

Jika PN pula dipilih, BN berpotensi mendapat manfaat di kawasan yang mempunyai asas pengundi Melayu lebih besar. 

Dua kerusi PN, Bemban dan Sungai Udang boleh menjadi medan untuk menguji sejauh mana kerjasama BN-PN mampu menyatukan undi Melayu dan menghalang perpecahan sokongan yang pernah berlaku.

Bagaimanapun, formula itu mempunyai satu persoalan besar, siapa yang akan menguasai empat kerusi bandar yang mempunyai pengaruh pengundi Cina yang besar?

Di sinilah PH mempunyai kelebihan semula jadi berbanding PN. Maka, bagi BN, pilihan rakan bukan semata-mata soal siapa boleh membantu mempertahankan kerajaan Melaka. 

Ia adalah percaturan lebih besar untuk menentukan sama ada 21 kerusi boleh dipertahankan, ditambah menjadi 23 atau 24, atau lebih jauh lagi, hampir menyapu bersih kesemua 28 kerusi.

Dan dalam percaturan itu, setiap satu daripada tujuh kerusi mempunyai nilai strategik tersendiri.

BN sebenarnya berada di kerusi pemandu. Pendirian mempertahankan 21 kerusi meletakkan parti itu sebagai pihak yang mempunyai kuasa tawar-menawar. 

Ab. Rauf sendiri menyifatkan 21 kerusi berkenaan sebagai garis sempadan rundingan, manakala tujuh kerusi lain membuka ruang kepada kemungkinan yang lebih luas. 

Tetapi kemenangan 21 kerusi sahaja belum tentu cukup untuk menghasilkan naratif kebangkitan nasional.

 

PROJEK POLITIK AHMAD ZAHID

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, projek politik untuk mengangkat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri seterusnya merupakan sesuatu yang munasabah untuk dibicarakan tetapi masih terlalu awal untuk dianggap sebagai kepastian.

Katanya, kemungkinan itu hanya akan mempunyai asas politik yang kukuh sekiranya gagasan dan peta jalan Ahmad Zahid berjaya mengembalikan UMNO dan BN sebagai kuasa dominan dengan jumlah kerusi Parlimen yang meningkat secara signifikan berbanding kedudukan sekarang.

Dalam konteks itu, PRN Melaka boleh menjadi antara penanda aras penting tetapi bukan satu-satunya ukuran.

Hisommudin melihat kebangkitan UMNO tidak boleh dinilai hanya melalui satu pilihan raya negeri. Sebaliknya, ia perlu dilihat melalui percaturan politik Ahmad Zahid sejak UMNO kehilangan dominasi selepas PRU15 dan berdepan persaingan sengit daripada PN.

Daripada parti yang pernah terhimpit dalam persaingan politik Melayu, UMNO kini mempunyai nilai strategik sebagai parti yang diperlukan dalam pembentukan kerajaan dan mempunyai ruang lebih besar menentukan bentuk kerjasama politik menjelang PRU16.

Justeru, Melaka bukan sekadar gelanggang untuk menentukan siapa menjadi kerajaan negeri. Melaka adalah ujian terhadap formula politik Zahid.

Jika BN mampu mempertahankan 21 kerusi, malah menambah beberapa kerusi daripada tujuh kawasan di luar penguasaannya, kemenangan itu akan memberikan modal politik yang jauh lebih besar kepada Pengerusi BN itu untuk mendakwa formula BN mampu diperluaskan ke peringkat nasional.

Lebih penting, kemenangan di Melaka akan melengkapkan rentetan prestasi BN di negeri-negeri seperti Johor dan Negeri Sembilan, sekali gus membentuk persepsi parti itu kembali memiliki kekuatan organisasi, jentera dan formula kerjasama yang boleh diterjemahkan kepada PRU16.

Namun, persoalan paling besar tetap kembali kepada tujuh kerusi itu. PH atau PN?

Jawapan kepada persoalan tersebut mungkin menentukan bukan sahaja siapa yang membantu BN membentuk kerajaan Melaka tetapi juga siapa yang bakal mendapat kelebihan politik daripada keputusan itu.

Kerana jika matlamat akhirnya ialah menyapu bersih sebanyak mungkin kerusi, BN tidak cukup sekadar mempunyai 21 kerusi yang sudah berada dalam tangan.

BN perlu mencari formula untuk memecahkan benteng tujuh kerusi yang masih menjadi milik lawan. Dan di situlah percaturan sebenar PRN Melaka bermula. –UTUSAN

 

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×