63 tahun Malaysia dan 93 tahun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seharusnya membawa makna lebih besar daripada sekadar dua ulang tahun yang tercatat dalam kalender negara.
Kedua-duanya mencerminkan perjalanan sebuah negara yang membina identiti, mempertahankan kedaulatan dan memastikan generasi rakyat Malaysia dapat terus hidup dalam keamanan dan keselamatan, namun di sebalik kemeriahan sambutan ada satu persoalan yang wajar kita tanyakan, sejauh mana rakyat Malaysia benar-benar menghargai keamanan yang dinikmati dan pengorbanan mereka yang mempertahankannya?
Kita lantang membicarakan kos sara hidup, politik, ekonomi, pembangunan dan pelbagai isu yang mempengaruhi kehidupan seharian. Semua perkara ini penting, namun apabila menyentuh soal pertahanan dan keselamatan negara, perhatian masyarakat lazimnya meningkat hanya apabila berlaku konflik, pencerobohan, bencana atau insiden keselamatan besar.
Apabila tajuk berita mengenainya mula reda, soal pertahanan kembali jauh daripada perbualan harian masyarakat. Keadaan ini sewajarnya membimbangkan kita.
ATM bukan sekadar sebuah institusi beruniform dilihat ketika perbarisan Hari Kebangsaan. Di sebalik beberapa minit pertunjukan yang mengagumkan itu terdapat anggota tentera yang melaksanakan tugas sebenar yang jarang mendapat perhatian sama menjaga sempadan, meronda perairan dan ruang udara serta sentiasa bersedia bertindak apabila keselamatan negara terancam.
Tugas mereka menuntut disiplin, kesiapsiagaan berterusan dan pengorbanan yang sebahagian besarnya berlaku secara senyap tanpa diketahui masyarakat.
Ada yang bertugas jauh di sempadan, di pulau terpencil, di tengah lautan dan di lokasi strategik, meninggalkan keluarga untuk tempoh yang panjang namun, sejauh mana kita memahami nilai pengorbanan tersebut?
Walaupun sebuah negara berada dalam keadaan aman, namun tetap memerlukan pertahanan yang berwibawa. Ancaman moden tidak lagi terbatas kepada peperangan konvensional.
Keselamatan maritim, pencerobohan sempadan, pelanggaran ruang udara, ancaman siber, peperangan informasi dan persaingan geopolitik semuanya berpotensi memberi kesan kepada kedaulatan serta keselamatan negara.
Dalam dunia yang semakin tidak menentu, kesedaran terhadap pertahanan tidak boleh dianggap sebagai tanggungjawab kerajaan dan ATM semata-mata. Ia seharusnya menjadi sebahagian daripada kesedaran nasional setiap rakyat Malaysia.
Kita mahu ATM memiliki aset dan teknologi moden tetapi sejauh mana kita memahami kos serta tempoh yang diperlukan untuk membangunkan keupayaan pertahanan yang benar-benar berwibawa?
Kita mahu sempadan dan perairan negara sentiasa selamat tetapi berapa ramai yang benar-benar memahami cabaran operasi yang dihadapi oleh mereka yang dipertanggungjawabkan menjaganya?
Kita mahu Malaysia dihormati di pentas antarabangsa tetapi adakah kita cukup menghargai pertahanan yang kredibel merupakan antara asas kepada kedaulatan dan maruah sesebuah negara?
Menghargai ATM bukan bermaksud meletakkan institusi tersebut mengatasi teguran atau kritikan, sebaliknya, penghargaan masyarakat yang matang bermaksud mengambil tahu mengenai pertahanan negara, berani mengemukakan persoalan sukar, menuntut akauntabiliti serta memastikan pertahanan diberikan perhatian, sumber dan perancangan jangka panjang yang sewajarnya.
Mencintai negara bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang atau berdiri ketika lagu Negaraku dimainkan.
Patriotisme yang bermakna seharusnya diterjemahkan melalui kesediaan memahami sejarah, menghormati institusi negara, memelihara keharmonian masyarakat dan mempertahankan kepentingan tanah air.
Justeru, ulang tahun ke-63 Malaysia dan ke-93 ATM seharusnya menjadi ruang untuk melakukan muhasabah nasional. Adakah kita benar-benar menghargai keamanan atau hanya menyedari nilainya apabila ia mula terancam?
Adakah kita benar-benar menghargai anggota yang mempertahankan negara atau hanya mengingati mereka ketika berlangsungnya upacara dan sambutan tertentu?
Sekiranya jawapannya masih belum meyakinkan, mungkin sudah tiba masanya kita menilai semula bagaimana masyarakat melihat soal pertahanan negara.
Keamanan mudah dianggap sesuatu yang biasa apabila kita telah menikmatinya terlalu lama.
Bagi mereka yang berkawal di sempadan, meredah lautan dan mengawasi ruang udara ketika sebahagian besar rakyat sedang tidur, keamanan tidak pernah dianggap sesuatu yang datang dengan sendiri. Ia adalah amanah. Ia adalah tugas dan adakalanya, ia menuntut pengorbanan.
Persoalan yang lebih besar ialah sudahkah kita, sebagai rakyat Malaysia melakukan secukupnya untuk menghargai negara ini dan mereka yang sentiasa bersedia mempertahankannya? –UTUSAN
AJBAL AHMAD
Kuala Lumpur










