WASHINGTON: Seorang penunggang motosikal yang cuba menunjuk-nunjuk di lebuh raya sibuk di negeri Idaho, Amerika Syarikat (AS) menerima padah apabila aksinya yang tersungkur dirakam kamera yang kemudian didedahkan polis.
Kejadian berlaku pada Rabu di Lebuh Raya Antara Negeri 84 (Interstate 84) di Boise, apabila sekumpulan penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya.
Mereka menunggang motosikal yang mencelah kenderaan lain sebelum salah seorang daripadanya terbabas, menurut Polis Idaho menerusi hantaran di media sosial.
Dalam rakaman video itu, dua penunggang motosikal yang dikelilingi kenderaan lain dilihat berganti-ganti melakukan aksi wheelie semasa kenderaan bergerak di sekeliling mereka.
Salah seorang penunggang kemudian dilihat hilang kawalan lalu tersungkur di tengah-tengah kesesakan lalu lintas.
Pihak polis memaklumkan bahawa penunggang berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan serius akibat insiden terbabas itu.
“Nasib baik, penunggang berkenaan disahkan selamat oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
“Kedua-dua penunggang motosikal telah dikenakan saman kerana memandu secara melulu.
“Kejadian ini sebenarnya boleh berakhir dengan situasi yang jauh lebih buruk.
“Nikmatilah baki cuaca yang sesuai untuk menunggang ini. Namun, berhati-hatilah dan bertanggungjawab semasa memandu.
“Pemanduan secara melulu membahayakan keselamatan semua orang di jalan raya,” tambah polis.
Aksi berbahaya tersebut telah menerima kecaman hebat oleh rata-rata warga maya di media sosial. – AGENSI










