JAKARTA: Kualiti udara di Kota Pekanbaru, Riau kembali merosot pada pagi Selasa dengan kepekatan zarah halus atau PM2.5 direkodkan mencecah 298.7 µg/m³ pada pukul 6 pagi waktu Indonesia Barat, sekali gus berada dalam kategori berbahaya.
Berdasarkan pemantauan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), kepekatan PM2.5 di Pekanbaru dari pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi WIB berada dalam julat 212.5 hingga 298.7 µg/m³.
Angka itu menunjukkan kepekatan zarah halus yang tinggi di udara Pekanbaru pada pagi berkenaan.
Keadaan itu merupakan peningkatan ketara berbanding sehari sebelumnya.
Pada Isnin pukul 8 pagi WIB, kepekatan PM2.5 direkodkan pada 88.5 µg/m³ atau berada dalam kategori tidak sihat.
Kemerosotan kualiti udara itu turut memberi kesan langsung terhadap aktiviti pendidikan di Pekanbaru.
Jabatan Pendidikan Kota Pekanbaru kembali melaksanakan pembelajaran dari jarak jauh (PJJ) bagi semua murid peringkat Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAUD), Taman Kanak-kanak (TK), Sekolah Rendah (SD) hingga Sekolah Menengah Pertama (SMP), sama ada sekolah kerajaan atau swasta, pada 6 hingga 7 Oktober 2026.
Selama beberapa minggu, Indonesia bergelut dengan kebakaran yang memusnahkan kawasan hutan dan ekosistem gambut yang luas, menyebabkan jerebu toksik menyelubungi beberapa kawasan di negara itu, Malaysia dan Singapura.
Kebakaran itu menjejaskan manusia dan haiwan, selain membawa kepada pendakwaan jenayah, penggantungan lesen serta penubuhan agensi baharu yang diarahkan presiden bagi menangani kebakaran di ekosistem tanah gambut. – AGENSI











