TURIN: Seorang lelaki warga Itali kini berada di bawah siasatan dan berdepan hukuman penjara selepas didapati membawa kepala buaya di dalam bagasinya semasa pemeriksaan di lapangan terbang.
Tindakan berani penumpang berkenaan yang mendarat di Lapangan Terbang Sandro Pertini di Caselle Torinese, Turin minggu lalu terbongkar selepas pegawai polis menemukan bangkai haiwan reptilia itu semasa memeriksa beg pakaiannya.
Kepala buaya yang telah dikeringkan dan dibungkus dengan kertas itu dirampas daripada lelaki berkenaan, yang berlepas dari Miami, Amerika Syarikat (AS) menerusi penerbangan persinggahan di Istanbul.
“(Kes) beliau telah dilaporkan kepada pihak berkuasa atas kesalahan mengimport spesimen daripada spesies yang dilindungi tanpa permit atau lesen yang sah,” kata Polis Kewangan dalam satu kenyataan rasmi.
Sekiranya disabitkan kesalahan, penyeludup berkenaan boleh dikenakan denda antara AS$23,200 (RM94,419) hingga AS$232,000 (RM944,194) atau hukuman penjara antara enam bulan hingga satu tahun.
Susulan peningkatan mendadak jumlah pelancong yang melawat destinasi eksotik, pihak polis bekerjasama rapat dengan pegawai kastam bagi memperketatkan pemeriksaan bagasi sepanjang musim panas.
Insiden penemuan kepala reptilia berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.
“Satu tindakan tidak munasabah yang tidak boleh diterima! Apa yang kita lihat di sini ialah gambaran manusia yang mengabaikan kehidupan liar.
“Seekor makhluk hidup daripada spesies terancam diperlakukan seperti barang mainan di dalam beg pakaian,” kata seorang pengguna yang berang di ruangan komen hantaran Instagram milik media Brazil, Metrópoles.
“Sementara pihak kastam kita sibuk dengan penemuan rampasan ini, beg-beg pakaian yang sarat dengan dadah metamfetamin pula merentasi sempadan seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku,” sindir seorang lagi pengguna menerusi hantaran untuk akhbar Itali, Il Messaggero. – AGENSI










