China haram pemilikan dron di Beijing - Utusan Malaysia

China haram pemilikan dron di Beijing

SEBUAH pesawat tanpa juruterbang dipamerkan semasa Kongres Dunia Dron (DWC) di Shenzhen. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Beijing akan mengharamkan pemilikan dron dalam kawasan bandar raya itu  di bawah peraturan baharu mulai November, sekali gus mengetatkan lagi peraturan yang sebelum ini sudah melarang penjualan peranti berkenaan.

Peraturan itu diumumkan pada Ahad dan akan berkuat kuasa pada 15 November, Ia melarang pemilikan atau penyimpanan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) di ibu negara China itu serta penerbangan dron di ruang udaranya.

Membawa masuk dron atau komponennya ke Beijing juga akan dilarang.

Kebimbangan mengenai ke­­selamatan ruang udara di bandar raya berpenduduk 22 juta orang itu timbul pada Jun.

Sebuah pesawat kecil terhempas ke bangunan pencakar langit tertinggi di Beijing, mengorbankan juruterbang dan mencederakan 13 orang dalam bulan itu.

Peraturan itu yang digubal kerajaan perbandaran Beijing menyatakan keperluan untuk menjamin keselamatan ibu negara.

Berdasarkan  peraturan yang diperkenalkan pada Mei, Beijing sudah melarang penjualan dron, manakala pemilik diwajibkan mendaftarkan peranti itu tetapi mereka masih dibenarkan menyimpannya.

Peraturan baharu itu mewajibkan semua pemilik dron melupuskan peranti mereka atau membawanya keluar dari Beijing sebelum 15 November atau berdepan rampasan dan denda.

Pihak berkuasa akan menawarkan subsidi kepada pemilik yang melupuskan dron mereka atau menjualnya melalui saluran pembelian semula.

Sebagai alternatif, mereka akan ditawarkan perkhidmatan penghantaran percuma untuk menghantar dron keluar dari bandar itu. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×