JAKARTA: Pasukan penyelamat Indonesia pada Isnin meneruskan usaha mencari lebih 100 orang yang masih hilang selepas sebuah feri terbalik dalam keadaan laut bergelora, kata Ketua Agensi Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), Mohammad Syafii pada Isnin.
Beliau berkata, beberapa pesawat, kapal tentera laut dan penyelam dikerahkan bagi mencari mangsa yang terselamat dalam kejadain itu
Feri Virgo Transport 8, yang menurut pihak berkuasa membawa 213 penumpang dan 30 kru, terputus hubungan dengan syarikat perkapalannya pada awal pagi Ahad selepas bertolak dari Surabaya, bandar kedua terbesar Indonesia, di Jawa Timur.
Mohammad Syafii berkata, enam orang disahkan maut manakala 129 lagi masih hilang.
Sekurang-kurangnya 108 orang lagi berjaya diselamatkan sehari sebelumnya.
Sebanyak lima pesawat dan 17 kapal, termasuk kapal perang tentera laut, dikerahkan bagi membantu operasi pencarian yang akan memberi tumpuan di kawasan sekitar lokasi feri itu karam, katanya.
“Kami akan memaksimumkan operasi pencarian di enam sektor yang sudah dibahagikan dengan mengutamakan pencarian mangsa yang terapung,” kata Syafii.
“Semoga kami dapat menemui mangsa dalam keadaan selamat,” tambahnya.
Beliau berkata, penyelam dan dron bawah air turut akan dikerahkan untuk mencari mangsa di dalam dan sekitar bangkai feri berkenaan yang sudah ditemukan pasukan penyelamat.
Menteri Pengangkutan, Dudy Purwagandh, berkata. feri itu tidak terlebih muatan dan membawa penumpang di bawah kapasiti maksimumnya iaitu 500 orang, pada sidang media Isnin.
Kemalangan laut kerap berlaku di Indonesia, sebuah negara kepulauan yang mempunyai lebih 17,000 pulau dan sangat bergantung kepada pengangkutan bot untuk perjalanan harian serta kegiatan pelancongan.
Piawaian keselamatan yang longgar dan cuaca tidak menentu menjadi punca utama kejadian berkenaan.
Minggu lalu, sebuah bot laju membawa lapan orang, termasuk lima wartawan yang bekerja untuk agensi berita tempatan dan antarabangsa, dilaporkan hilang berhampiran gunung berapi, Gunung Anak Krakatau, di wilayah Banten. Operasi pencarian masih dijalankan. – AFP










