LONDON: Bilionair mata wang kripto, Christopher Harborne mendedahkan beliau turut menyumbang 36 juta pound (RM198.2 juta) kepada parti berhaluan kanan Reform pimpinan Nigel Farage. Jumlahnya menyamai sumbangan terbesar diberikan sebelum ini dalam sejarah politik United Kingdom (UK).
Dua sumbangan berkenaan dibuat ketika Reform UK yang berhaluan antiimigresen dibelenggu beberapa skandal pembiayaan.
Harborne merupakan ahli perniagaan Britain berpangkalan di Thailand yang membuat sumbangan besar terbaharu itu.
Berita mengenai sumbangan itu muncul selepas polis awal minggu lalu mengesahkan mereka memperluaskan siasatan jenayah terhadap dakwaan parti tersebut menerima sumbangan haram. Pengumuman polis itu meningkatkan tekanan terhadap Farage yang berdepan penelitian sengit selama berbulan-bulan berhubung pengaturan kewangan partinya, selain sumbangan peribadi 5 juta pound (RM27.53 juta) kepadanya oleh Harborne.
Pemimpin Reform UK itu, yang menafikan sebarang salah laku oleh dirinya atau parti, menegaskan wang berkenaan adalah untuk keselamatannya. Badan pemantau rasuah Parlimen sedang menyiasat pembayaran itu.
Reform UK mendahului tinjauan pendapat kebangsaan sejak awal tahun lalu. Namun, kelebihan itu susut berbanding parti Buruh berhaluan kiri tengah dalam beberapa bulan kebelakangan ini susulan pelbagai kontroversi pembiayaan.
Perdana Menteri UK, Andy Burnham menggantikan Keir Starmer pada Julai lalu dan langkah itu turut dilihat mengukuhkan semula prospek Parti Buruh yang memerintah.
Dalam tulisannya di Daily Telegraph pada Sabtu, Harborne berkata, sumbangan baharu bernilai 36 juta pound itu merupakan hadiah amal untuk kepentingan negara yang bertujuan membantu parti itu membuat persediaan untuk memerintah dan membina infrastruktur seperti dimiliki parti-parti lama yang lebih mampan.
Pengumuman itu dibuat dalam tempoh 24 jam selepas seorang lagi tokoh besar mata wang kripto, Ben Delo mendedahkan sumbangan terbesarnya dalam akhbar sama sambil berkata, beliau mahu Reform UK mendapat persaingan yang adil.
Delo, pengasas bersama bursa mata wang kripto BitMEX berkata, beliau mahu menyumbang 1 juta pound (RM5.5 juta) sebulan kepada parti itu sehingga pilihan raya umum akan datang yang dijangka diadakan menjelang pertengahan 2029.
Justeru, beliau memilih untuk mendahulukan sumbangan tersebut dengan membayar keseluruhan 36 juta pound (RM198.22 juta) itu sekali gus kepada parti tersebut. – AGENSI










