RIYADH: Serangan Houthi Yemen ke atas Arab Saudi yang bermula pada penghujung Julai semakin sengit susulan kegagalan gencatan senjata dengan kumpulan yang disokong Iran itu dengan Riyadh.
Kumpulan itu pada Sabtu turut mendakwa melancarkan dron dan peluru berpandu ke atas sebuah pangkalan tentera di selatan negara berkenaan tetapi tidak menyatakan dengan terperinci bila serangan tersebut dilakukan.
Tindakan Houthi itu menimbulkan persoalan baharu sama ada beberapa pangkalan Udara Arab Saudi akan menjadi sasaran seterusnya selepas Iran dengan AS berbalas serangan di Asia Barat.
Laman berita Axios turut melaporkan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman menghubungi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebanyak dua kali dua minggu lalu untuk meminta serangan dilakukan terhadap Houthi tetapi permintaan itu ditolak.
Menurut jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree dalam catatan di platform X, serangan ke atas pangkalan di Sharurah, selatan Arab Saudi itu menyasarkan depot senjata dan pusat arahan serta kawalan yang menguruskan tindakan agresif terhadap negara dan rakyat di Yemen.
Pada minggu lalu, serangan Houthi terhadap infrastruktur minyak dan kapal tangki Arab Saudi terus meningkatkan tekanan terhadap pengeksport minyak terbesar dunia itu.
Kumpulan itu telah mengisytiharkan sekatan maritim terhadap kerajaan itu dan mula menyerang kapal-kapal Arab Saudi pada Julai.
Tindakan itu menjejaskan eksport Arab Saudi yang sudah terjejas akibat Iran menutup Selat Hormuz.
Pihak berkuasa Arab Saudi berkata, serangan Houthi minggu lalu menyebabkan operasi di beberapa kemudahan minyak dihentikan sementara dan mengakibatkan 73 orang cedera.
Houthi terdiri daripada masyarakat Zaidi, salah satu cabang Islam Syiah yang merupakan kelompok minoriti dalam kalangan penduduk Yemen yang majoritinya bermazhab Sunni.
Gerakan Houthi bermula sebagai sebuah puak terpencil di barat laut Yemen.
Kini, kumpulan itu mempunyai puluhan ribu pejuang yang terlatih, gigih dan berpengalaman dalam pertempuran di kawasan pergunungan Yemen yang mencabar.
Perang saudara Yemen bermula pada 2014 selepas Houthi menawan ibu negara Sanaa, tetapi reda selepas gencatan senjata pada 2022 sebelum kembali tercetus dengan sengit pada Julai lalu.
Trump pada Sabtu mengakui beliau bercakap dengan Putera Mohammed.
Bagaimanapun, beliau berkata, Houthi juga menghubunginya dan menyatakan tidak mahu berperang dengannya.
Beliau tidak menjelaskan sama ada Washington akan mengambil sebarang tindakan berhubung serangan kumpulan tersebut ke atas Arab Saudi.










