PETALING JAYA: Pemimpin-pemimpin parti politik diingatkan agar segera menghentikan budaya usik-mengusik dan sindiran terbuka melibatkan bentuk fizikal wanita di pentas rasmi, kerana perbuatan tersebut sama sekali tidak wajar dinormalkan dalam arena politik tanah air.
Timbalan Setiausaha Wanita Keadilan, Rozy Razit berkata, beliau memandang serius kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang secara terbuka menyentuh mengenai perubahan bentuk tubuh Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad di hadapan khalayak ramai.
Katanya, walaupun ada pihak yang cuba mengambil mudah atau menganggap insiden terbabit sekadar gurauan santai mahupun teguran biasa, namun komen-komen mengenai berat badan serta bentuk fizikal seseorang wanita tidak seharusnya dilontarkan di atas pentas persidangan.
“Wanita sepatutnya dihormati kerana kepimpinan, kebolehan, kerja dan sumbangan mereka, bukan dinilai atau dijadikan bahan jenaka berdasarkan bentuk tubuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa kesal yang amat mendalam terutamanya apabila insiden seumpama itu berlaku dalam ruang lingkup persidangan politik yang sepatutnya menjadi medan intelektual untuk membincangkan dasar parti, hala tuju kepimpinan serta masa depan rakyat.
Mengulas lanjut, Rozy berkata, polemik mengenai usaha memperkasakan wanita dalam kepimpinan sering menjadi retorik perbincangan politik, namun persoalannya bagaimana keyakinan golongan wanita mahu dibina sekiranya penampilan fizikal mereka masih berterusan diperkecilkan secara terbuka.
Jelasnya, perbuatan menghina fizikal atau body shaming tetap membawa erti satu bentuk penghinaan tanpa mempedulikan sama ada ia ditujukan kepada individu yang dianggap terlalu kurus mahupun berbadan besar.
“Niat untuk bergurau tidak semestinya menghilangkan kesan daripada kata-kata tersebut. Penghinaan fizikal tetap suatu penghinaan,” katanya.
Tambah Rozy, beliau menyeru kepada seluruh barisan kepimpinan politik tanpa mengira fahaman parti supaya bersama-sama menunjukkan teladan moral yang lebih tinggi dan luhur dalam menghormati maruah wanita.
“Tegur prestasinya jika perlu, kritik kepimpinannya jika ada asas. Bukan tubuh dan fizikal seseorang dijadikan bahan untuk dipermainkan.
“Wanita bukanlah bahan jenaka di atas pentas. Mereka merupakan rakan kongsi kepimpinan yang wajib dihormati,” katanya. – UTUSAN










