Lihat Azeva mula menyanyi seolah Allah merestui doa seorang ibu buat anaknya - A. Aida - Utusan Malaysia

Lihat Azeva mula menyanyi seolah Allah merestui doa seorang ibu buat anaknya – A. Aida

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LKUALA LUMPUR: Penerbit terkenal, Datuk A. Aida tersentuh apabila anaknya, Azeva Natassha akhirnya terbuka hati menceburi bidang nyanyian selepas hampir 10 tahun menolak pujukan untuk bergelar anak seni.

Menurut A. Aida, dia sudah melihat potensi besar dalam diri Azeva sejak anaknya berusia 13 tahun apabila menyedari gadis itu memiliki ton suara unik, selain pakej yang sesuai untuk berada dalam industri seni.

“Sebenarnya sejak Azeva berusia 13 tahun lagi, ketika dia menyanyi di sekolah, saya sudah sedar dia mempunyai ton suara yang unik dan istimewa.

“Sejak itu, saya selalu pujuk dia untuk menghasilkan sebuah album, tetapi dia tidak mahu. Saya ajak berlakon pun dia tak mahu. Hampir 10 tahun saya pujuk dia. Kadang-kadang saya sampai merajuk dengan dia.

“Saya selalu cakap dan menyatakan dia tiada hasil sebab Allah sudah beri suara, ton yang unik dan rupa. Sayang kalau semua kelebihan itu disia-siakan,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran single sulung Azeva yang berjudul, Tanpa Rasa Jemu, pada Jumaat.

Akur dengan keputusan puteri kesayangannya, dia akhirnya berhenti memujuk sehingga gadis itu sendiri menyuarakan hasrat untuk berlakon dan merakamkan lagu selepas pulang dari melanjutkan pelajaran di Australia.

“Apabila dia pulang dari Australia, dia tiba-tiba cakap dia mahu berlakon dan hasilkan lagu. Saya terkejut macam dalam mimpi. Tetapi dia cakap dia betul-betul serius.

“Apabila dia cakap begitu, saya terus cipta skrip sebuah filem dan buat OST untuknya. Saya terus ambil peluang sebab tak mahu bertangguh lagi.

“Ketika itu saya rasa macam Allah permudahkan semuanya. Seolah-olah Allah merestui doa seorang ibu yang selama ini memujuk anaknya. Bagi saya, Allah mempermudahkan doa dan harapan seorang ibu.

“Alhamdulillah, hari ini saya dapat menyaksikan single anak saya dilancarkan dan pada 1 Oktober nanti, filemnya pula akan ditayangkan.

“Rasanya seperti dalam mimpi, tetapi sebagai seorang ibu, saya bangga. Harapan dan impian saya selama ini akhirnya tercapai,” kongsinya.

Dalam pada itu, A. Aida percaya Azeva mempunyai pakej lengkap untuk membina nama sebagai penyanyi dan pelakon meskipun anaknya mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang perakaunan.

“Inilah harapan saya sebab dia ada semua pakej. Dia ada suara dan rupa. Bagi saya, inilah tempatnya dalam industri. Walaupun dia belajar dalam bidang perakaunan dan merupakan seorang akauntan, bagi saya kerjaya itu boleh dilakukan pada bila-bila masa.

“Sekarang, yang penting adalah membina namanya kerana Allah sudah kurniakan dia pakej yang lengkap. Sayang kalau peluang itu tidak digunakan,” ujarnya.

Lagu Tanpa Rasa Jemu merupakan lagu hasil ciptaan Zul 2by2, Aiman dan Madi Mulyadi dengan liriknya hasil nukilan ibunya sendiri, Datuk A. Aida.

Lagu tersebut juga diangkat sebagai runut bunyi filem lakonan Azeva, Bisikan Nafsu yang bakal ditayangkan di seluruh pawagam pada 1 Oktober ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×