Enam maut, lebih 100 hilang feri menuju Kalimantan terbalik - Utusan Malaysia

Enam maut, lebih 100 hilang feri menuju Kalimantan terbalik

AHLI keluarga penumpang yang terjejas membaca perkembangan terkini mengenai operasi menyelamat feri Virgo Transport 8 di sebuah papan putih di Pelabuhan Trisakti Bandarmasih, Banjarmasin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Angka kematian mang­sa feri Virgo Transport 8  yang terbalik ketika membawa 243 orang dalam cuaca buruk di perairan Laut Jawa, Indonesia  meningkat kepada enam orang.

Pejabat Pencarian dan Pertolongan Kelas A Banjarmasin menerima laporan mengenai Feri Virgo Transport 8 yang terputus komunikasi ketika dalam perjalanan dari Surabaya ke Banjarmasin pada Ahad.

Ketua Pejabat Pencarian dan Pertolongan Kelas A Banjarmasin melalui Penyelaras Misi Operasi dan Menyelamat (SAR), I Putu Sudayana berkata, sehingga jam 3 petang waktu tempatan, seramai 113 orang telah dipindahkan ke empat kapal yang berada berhampiran lokasi kejadian. 

Daripada jumlah itu, 107 orang selamat manakala enam maut dan nasib 130 lagi masih tidak diketahui.

Menurut beliau, kapal TB Mauhaw IX telah memindahkan 16 orang manakala kapal  TB TCP memindahkan enam orang,

Katanya, kapal  MV Haida memindahkan 69 orang. Kapal  KM Cahaya Bahari Jaya memindahkan 22 orang lagi, ujarnya.

Beliau berkata, TB Mauhaw IX akan menuju ke Pelabuhan Tuban, Jawa Timur. 

Kapal TB TCP dan MV Haida akan menuju ke Pelabuhan Trisakti, Banjarmasin, Kalimantan Selatan, tambahnya.

Maklumat mengenai kejadian tersebut diterima Pejabat SAR Banjarmasin pada Ahad  jam 4.10 pagi waktu tempatan  daripada Pengurus Besar PT Virgo. Yoel Rihi

Berdasarkan maklumat yang diterima itu, Feri Virgo Transport 8 terputus  komunikasi  kira-kira jam 2 pagi waktu tempatan selepas dilaporkan berdepan cuaca buruk ketika dalam perjalanan menuju Banjarmasin.

Feri  Virgo Transport 8 dilaporkan bertolak dari Surabaya pada Sabtu  jam 10.13 pagi waktu tempatan. 

Ketika itu, feri berkenaan masih belum dapat dihubungi dan kedudukannya belum diketahui.

Menurut pejabat itu, feri itu dikesan kali terakhir di perairan Laut Jawa, kira-kira 80 batu nautika dari Jeti SAR Basirih, Banjarmasin.

Susulan laporan itu, Pejabat SAR Banjarmasin mengerahkan satu pasukan penyelamat terdiri daripada enam anggota ke Jeti SAR Basirih pada Ahad  jam 4.30 pagi waktu tempatan.

Pasukan itu kemudian meneruskan perjalanan ke lokasi yang dianggarkan sebagai kedudukan terakhir kapal menggunakan KN SAR Laksmana 241, dengan anggaran masa perjalanan kira-kira lima jam.

Ketua Pejabat Pencarian dan Pertolongan Kelas A Banjarmasin melalui Penyelaras Misi SAR (SMC), I Putu Sudayana berkata, operasi pencarian akan dijalankan secara optimum dengan membabitkan semua agensi berkaitan.

“Memandangkan jumlah penumpang dan anak kapal yang agak ramai, kami mengoptimumkan penyelarasan dengan semua agensi berkaitan bagi mempercepatkan proses pencarian selain memastikan keselamatan semua penumpang  serta anak kapal,” katanya.

Berdasarkan data daripada laman pemantauan kapal, KM Virgo Transport 8 sebelum ini feri itu dikenali sebagai Ferry Kurushima dan siap dibina di limbungan kapal Shin Kurushima Onishi, Jepun pada 1987. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×