Laos bergelap ketika eksport elektrik meningkat

Laos bergelap ketika eksport elektrik meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VIENTIANE: Laos yang digelar ‘bateri Asia Tenggara’ kerana membekalkan tenaga kepada negara jiran menerusi puluhan loji hidroelektrik, kini dilaporkan kerap mengalami gangguan bekalan elektrik hingga menyebabkan rakyatnya sendiri terpaksa bergelap.

Eksport elektrik ke negara jiran termasuk Thailand dan Vietnam merupakan sumber pendapatan penting bagi negara tanpa pantai itu, yang dikategorikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai negara paling kurang membangun.

Namun, sebahagian besar tenaga yang dijana dihantar keluar negara, ditambah dengan grid elektrik yang semakin usang menyebabkan gangguan bekalan kerap berlaku, malah Laos kadangkala terpaksa mengimport elektrik bagi memenuhi permintaan.

Apabila bekalan elektrik terputus selepas waktu gelap di Vientiane, ramai keluarga terpaksa keluar rumah untuk mengelakkan bahang yang menyesakkan di dalam kediaman, sambil menggunakan telefon bimbit sebagai lampu suluh.

Di salah sebuah daripada dua hospital awam utama negara itu, seorang doktor di jabatan kecemasan pediatrik mengakui sudah biasa melihat peralatan perubatan terpadam secara tiba-tiba sehingga generator mula berfungsi.

“Dalam tempoh tiga hingga enam bulan lalu, kami sering menghadapi masalah bekalan elektrik, terutama di pusat kanak-kanak. Alat bantuan pernafasan pernah terhenti, tetapi kami mempunyai generator di hospital,” katanya.

Beliau berkata, apabila pendawaian lama baru-baru ini menyebabkan kebakaran elektrik di lorong di luar hospital, gangguan bekalan elektrik menjejaskan peralatan sinar-X, ultrabunyi dan alat bantuan pernafasan.

Di bahagian lain bandar itu, seorang kakitangan kaunter hadapan sebuah klinik kesihatan berkata, gangguan bekalan elektrik berlaku dua hingga tiga kali seminggu dan biasanya dimaklumkan terlebih dahulu.

“Tanpa generator, kami terpaksa menyambungkan semula bekalan elektrik dari kedai di sebelah kami,” katanya.

Laos mengeksport kira-kira dua pertiga daripada keseluruhan tenaga elektrik yang dijananya pada 2023, menurut Bank Dunia, namun pakar berkata, angka itu kini lebih tinggi.

Seorang bekas pakar teknikal di syarikat utiliti milik kerajaan, Electricite du Laos (EDL) menganggarkan jumlah itu kini sekitar 80 peratus.

Dalam tempoh sedekad hingga 2024, eksport elektrik tahunan meningkat lebih tiga kali ganda daripada 12 terawatt-jam (TWh) kepada 38 TWh, menurut data rasmi.

Jumlah itu mencukupi untuk membekalkan tenaga kepada Paris selama setahun setengah.

Menurut kerajaan, pada 2023, eksport berkenaan menjana AS$2.65 bilion (RM10.78 bilion) yang kebanyakannya dijual menerusi perjanjian antara kerajaan dengan syarikat yang melabur dalam infrastruktur Laos.

“Laluan penghantaran daripada kebanyakan projek adalah ‘dikhususkan’ untuk pelanggan mereka. Ini bermakna ia tidak disambungkan kepada pengguna di Laos,” kata Penasihat Asia di Institut Ekonomi Tenaga dan Analisis Kewangan, Grant Hauber.

Sebahagian besar grid pengagihan elektrik Laos dibina sejak 1970-an dan kini sukar memenuhi keperluan ekonomi yang semakin moden, termasuk sektor pelancongan, pembangunan infrastruktur berskala besar, pembangunan bandar dan penggunaan penghawa dingin.

Di Vientiane, talian elektrik yang sebelum ini digunakan untuk sebuah rumah kini menyalurkan bekalan kepada keseluruhan blok pangsapuri dengan banyak unit, sekali gus membebankan pencawang lama.

Di kawasan luar bandar, pokok yang tumbang ke atas talian elektrik boleh menyebabkan bekalan terputus dan merebak ke beberapa kampung kerana ketiadaan sistem sokongan.

Pemilik kedai di wilayah Luang Prabang di utara negara itu, Bounchan Manochit berkata, ketiadaan lampu menyebabkan haiwan liar dikhuatiri memasuki rumah penduduk pada waktu malam.

“Kami tidak dapat melihatnya. Ia boleh membahayakan,” katanya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×