Tong bersimen berisi rangka manusia ditemui di tepi empangan

Tong bersimen berisi rangka manusia ditemui di tepi empangan

ANGGOTA polis tiba untuk menjalankan siasatan lanjut ekoran penemuan sebuah tong berisi rangka manusia di manusia di tepi jalan berhampiran kawasan empangan Durian Tunggal hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Misteri sebuah tong yang ditemui tiga pemancing di tepi empangan di Durian Tunggal, di sini, terbongkar apabila pemeriksaan mendapati ia mengandungi rangka dipercayai manusia, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, penemuan itu dilaporkan kepada polis kira-kira pukul 11.40 pagi selepas ketiga-tiga pemancing berasa curiga dengan tong yang terletak kira-kira 15 meter dari jalan.

Menurutnya, pemancing terbabit cuba memeriksa kandungan tong berkenaan sebelum melihat sesuatu yang menyerupai rangka manusia dan membuat laporan polis.

“Polis bersama pasukan forensik tiba kira-kira pukul 12 tengah hari bagi menjalankan pemeriksaan. Pemeriksaan awal mendapati kandungannya dipercayai rangka manusia.

“Setakat ini, apa yang dilihat secara fizikal adalah tengkorak, manakala identiti dan jantina mangsa belum dapat dipastikan,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian hari ini.

Ahmad berkata, tong berkenaan dipercayai telah ditutup dengan simen, namun bahagian penutupnya telah terbuka menyebabkan air memasuki tong.

Katanya, keadaan rangka menunjukkan ia dipercayai telah berada di dalam tong sekurang-kurangnya tiga minggu.

“Rangka tersebut dipercayai antara tiga minggu dan ke atas berdasarkan keadaan tulang dan tiada tisu yang terlekat. Namun, tempoh sebenar perlu ditentukan melalui pemeriksaan forensik,” katanya.

Beliau berkata, tong berkenaan sukar dialihkan kerana berada kira-kira 15 meter dari jalan, menyebabkan polis mendapatkan bantuan bomba untuk mengangkatnya sebelum dibawa ke hospital.

Katanya, bedah siasat akan dijalankan bagi menentukan identiti, jantina dan punca kematian mangsa.

“Setakat ini belum ada tangkapan dan siasatan masih diteruskan. Kita menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini supaya tampil membantu siasatan,” katanya.

Ahmad turut meminta individu yang mempunyai ahli keluarga atau kenalan yang hilang supaya membuat laporan polis bagi membantu proses mengenal pasti mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Tiga pemancing yang menemukan tong berkenaan turut akan dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Polis kini menyiasat bagaimana tong itu berada di lokasi berkenaan serta bagaimana rangka tersebut boleh dimasukkan ke dalamnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×