Dua empangan Melaka susut 25 peratus

Dua empangan Melaka susut 25 peratus

EMPANGAN Durian Tunggal merekodkan penurunan pada 73.9 peratus berbanding 74.7 peratus sehari sebelum itu. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penurunan paras air di dua empangan utama iaitu Empangan Durian Tunggal dan Empangan Jus tidak menjejaskan bekalan air bagi kegunaan domestik dan industri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, meskipun berlaku penurunan sekitar 20 hingga 25 peratus berikutan kekurangan taburan hujan, bekalan air masih berada pada tahap terkawal dan mencukupi.

Katanya, paras Empangan Durian Tunggal pada 73.9 peratus berbanding 74.7 peratus sehari sebelumnya manakala Empangan Jus berada pada paras 63.6 peratus berbanding 63.8 peratus.

“Bagi Empangan Asahan pula masih stabil pada paras tinggi iaitu 91.2 peratus. Walaupun berlaku penurunan di dua empangan utama, keadaan ini tidak menjejaskan bekalan air domestik dan industri dan kita jangka bekalan kekal mencukupi sekurang-kurangnya sehingga April ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Hameed Mytheen berkata, catuan air hanya akan dilaksanakan sekiranya paras di semua empangan menurun sehingga 65 peratus.

Beliau berkata, kejadian pada 2020 tidak akan berulang yang mana jika paras air merosot sehingga 40 peratus barulah catuan dilaksanakan.

“Langkah catuan ini telah dirancang lebih awal dan jika perlu, ia akan dilaksanakan secara berkala melibatkan pengguna domestik dan industri sekiranya paras air terus merosot ke tahap kritikal,” katanya.

Beliau berkata, langkah proaktif turut dilaksanakan termasuk pengepaman air dari sumber alternatif serta penyaluran ke loji rawatan air bagi menampung keperluan semasa.

Ujarnya, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan agensi berkaitan mengambil langkah awal dengan mengoptimumkan sumber air alternatif termasuk Sungai Melaka, Sungai Batang Melaka dan Sungai Pengkalan.

“Ramalan kaji cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan negeri ini akan kembali menerima hujan pada awal April nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×