Bekalan air di Melaka mampu bertahan enam bulan

Bekalan air di Melaka mampu bertahan enam bulan

HAMEED Mytheen Kunju Basheer meninjau paras air di Empangan Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Bekalan air untuk kegunaan industri dan domestik di Melaka mencukupi untuk tempoh enam bulan berikutan cuaca panas yang melanda seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, paras air di Empangan Durian Tunggal, Empangan Jus dan Empangan Asahan tidak membimbangkan.

Katanya, paras air di Empangan Durian Tunggal mencapai 78 peratus, Empangan Jus sebanyak 73 peratus dan Empangan Asahan pula 100 peratus.

Beliau berkata, Badan Selia Kawal Air (BKSA) Melaka dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) telah mengenal pasti tiga sumber air iaitu dari Sungai Batang Melaka, Sungai Kesang dan Sungai Melaka untuk disalurkan ke tiga empangan terlibat, jika berlaku keadaan luar jangka.

“Kita akan mengambil langkah drastik melakukan catuan seandainya air turun di bawah paras 65 peratus di tiga empangan tersebut. Kalau berdasarkan kadar sumber air yang sedia ada di semua tasik-tasik ataupun kolam-kolam tadahan di Melaka, insya-Allah bekalan air adalah mencukupi menjelang Syawal nanti.

“Jika air turun ke paras yang membimbangkan SAMB dan BKSA akan menggerakkan air-air melalui sumber-sumber ataupun loji-loji yang terdapat di negeri ini,” katanya selepas meninjau paras air di Empangan Durian Tunggal di sini, hari ini.

Hameed berkata, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan, cuaca panas dijangka berakhir pada Mac manakala sebelum April hujan dijangka turun.

Ujarnya, jika tiada hujan langsung sehingga April, kapasiti tiga empangan mampu bertahan untuk tempoh enam bulan lagi.

“Kita akan susun jadual berkala jika berlaku keadaan tersebut dan rakyat di negeri ini tidak perlu risau atau bimbang dengan bekalan sumber air yang kita ada,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×