Yayasan PETRONAS kembali ekosistem Empangan Durian Tunggal

Yayasan PETRONAS kembali ekosistem Empangan Durian Tunggal

KOMUNITI Ayer Pasir diketuai Amran Haron (lima dari kiri) bersama S. Prem Kumar (kiri) dan Mohd. Nazri Aziz (enam dari kanan) di hadapan tapak semaian di Empangan Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kolaborasi Yayasan PETRONAS (YP) bersama kerajaan negeri dan penduduk setempat dalam usaha pemuliharaan hutan seperti di Empangan Durian Tunggal di sini, telah mengembalikan ekosistem hutan tanah pamah serta habitat bagi flora dan fauna.

Ketua Pegawai Eksekutif YP, Shariah Nelly Francis berkata, secara tidak langsung, ia juga mampu menambah baik kualiti bekalan air sedia ada, mengelak hakisan tanah dan membantu pemuliharaan hutan darat di kawasan tadahan air.

Beliau berkata, penglibatan Komuniti Ayer Pasir dalam Program Penanaman Pokok YP turut membolehkan mereka menjana pendapatan.

Shariah Nelly Francis

“Hasil daripada perbincangan dan kerjasama dengan Badan Kawal Selia Air (BKSA) Jabatan Ketua Menteri Melaka, YP memainkan peranan dalam rehabilitasi hutan di kawasan tadahan air ini. Justeru, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada BKSA kerana memberi kebenaran untuk penanaman di sini.

“Komuniti Ayer Pasir juga telah menunjukkan komitmen yang perlu dipuji kerana dalam tempoh yang singkat, mereka mampu mendirikan tapak semaian dan menanam 600 pokok dalam tempoh sebulan sebelum pelancaran pada awal 2022.

“Kerjasama bersama BKSA sangat baik dan kami memantau projek penanaman ini hampir dua tahun untuk memastikan kelangsungan hidup pokok terjamin. Kami juga berharap komuniti akan terus komited dalam memastikan impak kelestarian dengan adanya pokok-pokok ini di Empangan Durian Tunggal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada Mac 2021, Utusan Malaysia melaporkan, sekitar 466.35 ekar rizab Empangan Durian Tunggal diceroboh pihak tidak bertanggungjawab sehingga ada yang berani membangunkan struktur bangunan kekal.

Ketua Menteri Melaka ketika itu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, tinjauan mendapati, pencerobohan bagi tujuan pertanian seperti tanaman durian Musang King, kelapa sawit dan sebagainya pula dikesan dengan keluasan 52.7 ekar.

Dalam pada itu, Ketua Pembantu Tadbir BKSA Jabatan Ketua Menteri Melaka, Mohd. Nazri Aziz berkata, penjagaan kawasan empangan merupakan elemen penting dalam memastikan kelangsungan sumber air bersih sesebuah negeri.

Ujarnya, Melaka sebagai sebuah negeri yang mempunyai keterbatasan sumber air amat mengambil berat proses restorasi kawasan rizab empangan dan mengalu-alukan kerjasama badan korporat seperti YP.

“Dengan adanya projek-projek penanaman pokok ia serba sedikit dapat membantu merestorasikan semula empangan ini bagi kegunaan sumber air di Melaka. BKSA amat mengalu-alukan program sebegini dalam memberikan pendekatan terutamanya kepada kesinambungan sumber air dan alam sekitar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya