Komuniti Ayer Pasir teruskan usaha memastikan sumber air utama Melaka bersih

Komuniti Ayer Pasir teruskan usaha memastikan sumber air utama Melaka bersih

AMRAN Haron memeriksa pokok yang ditanam oleh Komuniti Ayer Pasir di Empangan Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Iltizam dan semangat untuk memastikan Empangan Durian Tunggal yang menjadi nadi sumber air utama rakyat Melaka bebas daripada agen pencemaran, mendorong Komuniti Ayer Pasir menyahut seruan Yayasan PETRONAS (YP) untuk menyertai Program Penanaman Pokok YP.

Sebagai kelompok masyarakat yang tinggal berdekatan dengan empangan itu, peristiwa pencerobohan pihak tidak bertanggungjawab menanam pelbagai tanaman kontan sehingga menjejaskan bekalan dan kualiti air di situ, amat memberi kesan mendalam kepada mereka.

Pengerusi Komuniti Ayer Pasir, Amran Haron berkata, meskipun tidak mempunyai kepakaran dalam selok-belok restorasi kawasan rizab empangan, sikap tidak putus asa dan tidak jemu menimba pengetahuan baharu menjadi kekuatan buat ahli komuniti menjalankan proses penanaman semula pokok hutan darat.

Beliau berkata, sejak proses penanaman dimulakan pada Februari 2022, mereka menghabiskan masa tiap-tiap hari di kawasan seluas 3.5 ekar yang diamanahkan oleh YP dan kerajaan negeri.

“Sasaran yang diberikan kepada kami adalah untuk tanam 2,000 pokok di kawasan bekas pencerobohan. Sebelum ini ada pihak tidak bertanggungjawab ceroboh rizab empangan, mereka tanam sirih di sini.

“Pastinya bagi mendapatkan hasil dalam masa singkat, pelbagai bahan kimia digunakan pada tanah yang secara langsung menjejaskan kualiti air Empangan Durian Tunggal. Sebagai rakyat Melaka, menjadi tanggungjawab kami untuk memelihara kelestarian sumber air negeri ini.

“Hasil kerjasama dan tunjuk ajar daripada Global Environment Centre (GEC), sasaran 2,000 pokok berjaya dicapai malah Komuniti Ayer Pasir berjaya tanam lebih iaitu 2,773 pokok hutan pelbagai jenis,” katanya kepada Utusan Malaysia.

TAPAK semaian pokok jenis hutan darat pelbagai spesies yang diusahakan Komuniti Ayer Pasir di Empangan Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka. – UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD

Program Penanaman Pokok YP adalah sokongan kepada Program Walk4Trees Challenge yang bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan pekerja PETRONAS untuk mencapai 20 bilion langkah, bermula dari Disember 2019 sehingga Jun 2021.

Bagi setiap sejuta langkah yang direkodkan, YP menyumbang penanaman satu pokok. Di akhir Program Walk4Trees Challenge pada Jun 2021, PETRONAS telah berjaya mencapai 24.02 bilion langkah, lebih daripada sasaran awal.

Berikutan itu, YP, cabang impak sosial PETRONAS, telah menanam 24,020 pokok dan juga mengambil inisiatif untuk melengkapkan jumlah ditanam kepada 50,000 pokok.

Sehingga kini, sejumlah 74,652 pokok telah ditanam di seluruh Malaysia. Pokok-pokok telah ditanam oleh komuniti setempat di 14 lokasi di 11 negeri termasuk Empangan Durian Tunggal.

Dalam pada itu, Pegawai Kanan Program Hutan dan Pesisiran Pantai GEC, S. Prem Kumar berkata, selaku rakan pelaksana, beberapa kajian dilakukan pihaknya bagi mengenal pasti jenis pokok bersesuaian untuk restorasi kawasan rizab empangan.

Beliau berkata, hanya pokok bersifat kurang evapotranspirasi (ET) dipilih untuk mengelakkannya menyedut sumber berlebihan sehingga menjejaskan bekalan air empangan.

Ujarnya, antara pokok yang ditanam adalah Merawan Siput Jantan, Meranti Sengkawang Merah, Kasai Daun Besar, Keruing Neram, Tenggek Burung dan Kelat Paya.

Jelasnya, setelah hampir dua tahun ia ditanam, inisiatif itu bukan sahaja terbukti meningkatkan kualiti air empangan tetapi turut menyumbang kepada kepelbagaian biologi yang mana lokasi penanaman kini dihadiri dua spesis burung iaitu Merbah Kapur dan Zebra Dove.

“Tanaman seperti sirih dan kelapa sawit contohnya ia memerlukan sumber air yang banyak untuk hidup. Maka pokok-pokok sedemikian tidak sesuai ditanam di kawasan empangan kerana akan menganggu bekalan air terutama pada musim kemarau,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya