PETALING JAYA: Kerajaan Sarawak merangka formula pengurusan gas negeri tanpa menjejaskan peranan Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, formula yang dirangka bukan bertujuan ‘membunuh’ syarikat petroleum nasional itu, sebaliknya bagi memastikan keadilan kepada Sarawak sebagai pengeluar utama gas negara.
Katanya, isu berkaitan pengurusan sumber gas diharap dapat diselesaikan secara baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan bersama.
“Kita ada cara, ada formula yang tidak menjejaskan Petronas dan pada masa sama boleh memberi keadilan kepada kita sebagai pengeluar gas.
“Ini yang hendak kita laksanakan dalam pengurusan gas,” katanya berucap pada Konvensyen Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Menurut Abang Johari, Sarawak memiliki kira-kira 62 peratus rizab gas negara dan negeri itu mahu berkongsi peranan dalam pengurusan sumber berkenaan, bukan hanya dikendalikan sepenuhnya oleh Petronas.
“Disebabkan itu kita menggunakan undang-undang sedia ada dan apabila isu ini kini dibawa ke mahkamah, kita bersedia menghadapinya,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari menolak dakwaan pihak tertentu yang menuduh Sarawak bersikap tamak dalam tuntutan berhubung pengurusan sumber berkenaan.
Sebaliknya GPS konsisten memperjuangkan hak Sarawak khususnya berkaitan pengurusan sumber minyak dan gas di negeri itu.
“Kami bukan tamak. Ada orang menuduh kita membunuh angsa bertelur emas. Tidak, kami hanya mahu keadilan.
“Minyak datang dari Sarawak. Kita tidak akan tengok sahaja. Saya berterus terang dalam perjuangan ini kerana ia penting untuk memantapkan ekonomi negeri,” katanya.
Sarawak katanya, mempunyai pelan pembangunan dikenali sebagai Gas Roadmap yang menumpukan kepada pembangunan industri hiliran termasuk pengeluaran metanol.
“Sarawak kini adalah pengeluar metanol terbesar di rantau ini dan pembangunan sektor gas dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
“Dalam usaha memperkukuh industri tersebut, kerajaan negeri juga merancang pembangunan pelabuhan baharu di Tanjung Embang yang akan dijadikan terminal gas strategik,” katanya.
Sementara itu, Abang Johari berkata, GPS perlu terus melihat ke hadapan dengan merancang kesinambungan kepimpinan negeri melalui gabungan pemimpin berpengalaman dan generasi muda.
Katanya, beliau sendiri mengambil alih kepimpinan daripada Allahyarham Tan Sri Adenan Satem serta dibimbing tokoh terdahulu termasuk Tun Abdul Taib Mahmud dan Tan Sri Alfred Jabu.
“Sekarang kita asuh pula barisan pemimpin muda. Jangan nanti apabila kita letakkan calon muda, ada yang tidak mahu. Kita perlu menggabungkan pengalaman dengan tenaga baharu supaya masa depan negeri terus terjamin,” katanya. – UTUSAN










