JAKARTA: Menteri Luar Indonesia, Sugiono menyatakan bahawa Indonesia tidak akan mengenakan tarif di Selat Melaka dengan menyatakan bahawa langkah tersebut tidak selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut ((UNCLOS).
Sugiono berkata demikian dalam satu temu bual ringkas di Jakarta pada Khamis sebagai respons terhadap pertanyaan media sama ada Indonesia bercadang mengenakan bayaran di laluan perairan itu.
Beliau menyatakan bahawa Indonesia amat menghormati undang-undang antarabangsa, khususnya peruntukan dalam UNCLOS yang mengiktiraf status Indonesia sebagai negara kepulauan.
Namun, katanya, ia tidak membenarkan pengenaan tarif dalam selat yang termasuk dalam wilayah maritimnya.
Sugiono turut menekankan bahawa Indonesia menyokong kebebasan pelayaran dan berharap agar aliran trafik maritim berjalan lancar, bebas serta memberi manfaat bersama.
“Kami juga berharap kepada laluan bebas dan saya rasa itu adalah komitmen banyak negara, untuk mewujudkan laluan perkapalan yang bebas, neutral serta saling menyokong,” katanya seperti dilaporkan Antara.
“Jadi, tidak. Indonesia tidak berada dalam kedudukan untuk berbuat demikian,” tegasnya mengenai isu tarif.
Sebelum ini, Menteri Kewangan Indonesia, Purbaya Sadewa pernah membincangkan kemungkinan mengenakan tarif ke atas kapal yang melalui selat tersebut.
Pada Rabu, Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan berkata, negara-negara Asia yang terletak di sekitar Selat Melaka mempunyai kepentingan strategik untuk memastikan laluan itu kekal terbuka.
“Hak transit dijamin untuk semua pihak. Kami tidak akan menyertai sebarang usaha untuk menutup, memintas atau mengenakan tol di kawasan kami,” katanya. – AGENSI










