‘Kedudukan fiskal negeri masih terkawal’

‘Kedudukan fiskal negeri masih terkawal’

AB. RAUF Yusoh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri tidak berhasrat membentangkan Mini Bajet 2026 bagi menangani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat, memandangkan kedudukan fiskal negeri ketika ini masih terkawal.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kerajaan negeri sebaliknya akan terus melaksanakan langkah kawalan dalam kerangka Bajet 2026 sedia ada termasuk pengoptimuman perbelanjaan dan penjimatan kos operasi.

Katanya, kerajaan negeri juga akan terus memantau perkembangan semasa dan bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap intervensi yang dilaksanakan memberi impak optimum kepada ekonomi negeri.

“Setakat ini, kita tidak bercadang membentangkan mini bajet itu kerana kedudukan fiskal negeri masih stabil dan terkawal.

“Langkah-langkah mitigasi seperti perbelanjaan berhemah serta pelaksanaan program bersasar sedang dilaksanakan bagi mengurangkan impak kepada rakyat,” katanya pada Persidangan Pertama, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) mengenai adakah kerajaan negeri berhasrat membertangkan Mini Bajet Melaka 2026 bagi menangani krisis tenaga global yang melanda seluruh dunia sejak konflik di Asi Barat tercetus.

Ab. Rauf berkata, pelbagai inisiatif di bawah Bajet 2026 disusun bagi membantu golongan sasar menghadapi peningkatan kos tenaga dan gangguan rantaian bekalan.

Katanya, antaranya termasuk Program Benih Padi dan Beras Melaka dengan peruntukan RM300,000 bagi memastikan keterjaminan bekalan beras, selain tambahan insentif pembajakan RM30 seekar melibatkan kira-kira 1,500 hektar sawah.

Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM300,000 bagi memperkasa usahawan dan koperasi melalui program pembangunan serta inisiatif ‘Jelajah Usahawan Mana Lagi…Melaka Ler’ bagi memperluaskan pasaran produk tempatan.

“Bagi meringankan beban peniaga kecil kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan insentif seperti sewaan percuma selama sebulan atau diskaun 30 peratus premis perniagaan, selain pengurangan 50 peratus bagi pembaharuan lesen penjaja,” katanya.
Kerajaan negeri katanya, turut memperkenalkan pelbagai insentif kepada sektor pembangunan termasuk kelonggaran kebenaran merancang, pengecualian deposit pembinaan dan pengurangan kompaun sehingga 80 peratus.

Pengecualian bayaran Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bagi kategori gerai dan pertanian sepanjang tahun 2026 turut dilaksanakan bagi membantu pengusaha mengurangkan kos operasi.

“Kesemua inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan rakyat terus dibela, walaupun berdepan cabaran ekonomi global,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×