KUALA LANGAT: Tiga mangsa rentung dan tinggal rangka ketika ditemukan dalam kejadian kebakaran empat buah kilang termasuk sebuah gudang dan premis pemproses minyak dekat Kawasan Perindustrian Kampung Olak Lempit, Banting, di sini, malam tadi.
Timbalan Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, ketiga-tiga mangsa itu ditemukan di Warehouse Pentas Flora, ketika pasukan bomba sedang membuat kerja-kerja overhauling selepas memadam kebakaran.
Menurutnya, kebakaran awal melibatkan dua bangunan kelas B berkeluasan 30,000 kaki persegi (kps) sebelum ia merebak ke dua kilang bersebelahan.
“Status kebakaran di lokasi memasuki peringkat overhaul. Kilang terlibat iaitu sebuah gudang Warehouse Pentas Flora dan kilang Polymex yang terbakar 100 peratus. Sebuah premis Pentas Flora Laboratory terbakar lima peratus dan sebuah lagi kilang satu peratus.
“Kebakaran berjaya dikawal daripada merebak. Kerja-kerja pemadaman sedang dilakukan,” katanya kepada pemberita, awal pagi tadi.

Ahmad Mukhlis memaklumkan, terdahulu bomba menerima panggilan pada pukul 10.03 malam tadi dan menggerakkan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting.
Mereka turut dibantu oleh pasukan dari BBP KLIA, Dengkil, Cyberjaya, Bangi, Petaling Jaya, Presint 7 (Putrajaya) dan Nilai (Negeri Sembilan) serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) iaitu 10 dari Sri Serdang dan lima dari Rantau Panjang.
“Keseluruhan pasukan melibatkan kekuatan 69 pegawai, anggota dan PBS. Lebih 10 jentera digerakkan bagi memadam kebakaran dan bantuan kecemasan.
“Komander operasi lapor ketika kerja-kerja pengawalan kebakaran dilakukan, pemadaman secara defensif dibuat kerana ada letupan di dalam kilang tersebut. Kerja-kerja firebreak berjaya dilakukan daripada merebak ke kilang sebelah,” jelasnya. – UTUSAN










